SilTerra Malaysia hanya RM273 juta? – Najib

SilTerra Malaysia hanya RM273 juta? – Najib

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kesal SilTerra Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dijual dengan harga hanya RM273 juta, rendah dari keuntungan yang pernah dicapai syarikat itu.

Menurutnya, penjualan sepenuhnya syarikat semikonduktor terbesar milik Malaysia oleh Khazanah itu akhirnya muktamad.

“Dijual kepada syarikat gabungan, iaitu 60 peratus syarikat tempatan dan 40 peratus, syarikat Beijing.

“Namun, harga penjualan RM273 juta tunai? Ia kerana pendapatan dan untung bersih Silterra ketika BN pada tahun 2014 adalah sebanyak RM396 juta dan untung RM87.9 juta; pada 2015: RM649 juta, untung RM639.8 juta; pada 2016: RM598 juta, untung RM24 juta dan 2017: RM617 juta, rugi RM52.2 juta.

“Jumlah keuntungan terkumpul empat tahun terakhir (masa BN) adalah RM700 juta,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, syarikat berkenaan dijual sepenuhnya pula oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan harga RM273 juta.

“Masa Perdana Menteri keempat, berbilion ringgit dilabur dalam syarikat tersebut, tetapi akhirnya dipulihkan keuntungan masa BN.

“Bagaimanapun, akhirnya dijual sepenuhnya dengan harga RM273 juta semasa negara di bawah darurat dan pada ketika industri elektronik seluruh dunia sedang mencanak naik,” katanya.

Menerusi laporan media, Dagang NeXchange Bhd (DNeX) dan firma China, Beijing Integrated Circuit Advanced Manufacturing and High-End Equipment Equity Investment Fund Center (CGP Fund) memeterai perjanjian jual dan beli saham bersyarat (SSPA) dengan Khazanah.

Ia bagi membolehkan DNeX dan CGP Fund memperoleh 100 peratus kepentingan dalam SilTerra Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Khazanah pada harga RM273 juta.

Berdasarkan kepada SSPA itu, DNeX akan memperoleh 60 peratus kepentingan ekuiti dalam SilTerra sementara CGP Fund akan memperoleh baki 40 peratus kepentingan ekuiti. -Malaysiapost

Komen