Audio Anwar-Zahid : Siasatan polis dapat hilangkan sangsi

Audio Anwar-Zahid : Siasatan polis dapat hilangkan sangsi

POLIS diminta menyegerakan siasatan terhadap laporan penularan audio yang didakwa mirip suara Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan siasatan itu penting bagi meredakan suhu politik sekali gus memadam kesangsian ahli serta rakyat terhadap kedua-dua pemimpin berkenaan.

“Saya harap polis cepat mengambil tindakan (menyiasat) untuk menentukan dari segi kesahihan audio berkenaan.

“Sebab dalam kalangan ahli parti masih lagi keliru, jadi kalau dipercepatkan dari segi keputusannya, saya percaya ini akan memadamkan terus kesangsian yang ada pada ahli.

“Ada ahli kata ya, ada yang kata tidak, ada kata palsu, (malah) ada (juga) kata betul, justeru polis akan menentukan betul atau tidak, sahih atau sebaliknya,” katanya dipetik Berita Harian, hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan (Keselamatan) berkata, isu audio itu akan lenyap jika keputusan siasatan itu sudah diperolehi.

Justeru beliau meminta semua ahli bersabar sehingga keputusan siasatan itu dikeluarkan polis.

Pada masa sama, beliau berharap Ahmad Zahid menerusi pegawainya mempercepatkan laporan polis untuk membersihkan tuduhan terhadapnya berkaitan audio terbabit.

“Presiden pun dah berjanji untuk membuat laporan polis menerusi pegawainya dan saya harap disegerakan, kalau tidak ia akan menimbulkan kesangsian daripada orang ramai selain timbul pelbagai spekulasi.

“Laporan itu adalah untuk menutup prasangka tidak baik yang mungkin akan timbul,” katanya. – Malaysiapost

Komen