Hamzah sedia lawan Umno di Larut

Hamzah sedia lawan Umno di Larut

SETIAUSAHA Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin sedia untuk mempertahankan Parlimen Larut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Menteri Dalam Negeri itu, percaturan strategi telah tersedia bagi menghalang Umno merampas kerusi Parlimen Larut yang disandangnya ketika ini.

“Ia amalan biasa dalam politik untuk setiap parti bertanding meletakkan calon dan mengatur strategi masing-masing bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya seperti dilaporkan FMT.

Hamzah menambah tidak kisah jika Umno mahu meletakkan calon di kerusi Parlimen Larut manakala Perikatan Nasional (PN) akan bekerjasama dengan PAS dan parti gabungannya bagi memilih calon berintegriti untuk diketengahkan pada PRU15 nanti.

Bagaimanapun, beliau sedia mengadakan perbincangan mengenai agihan kerusi dan calon sekiranya Umno mahu bekerjasama bersama Bersatu dan PAS.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang sebelum ini berkata pihaknya tidak akan menyerahkan lima kerusi yang dimenangi parti itu pada PRU14 untuk ditandingi parti lain pada PRU15.

Katanya, semua kerusi tersebut diperuntukkan kepada Umno, namun wakil rakyatnya meninggalkan parti itu selepas PRU14 dan menyertai parti lain.

Pada  PRU14 lalu, Hamzah memenangi kerusi Parlimen Larut atas tiket Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 4,486 menewas calon PAS, Abu Husin Mohamad.

Bagaimanapun selepas itu Hamzah keluar Umno dan menyertai Bersatu. – Malaysiapost

Komen