BAGI peminat setia Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Restoran Kukus yabg terletak di Klang, Selangor adalah kedai makan yang wajib singgah.
Selain hidangan makanan yang enak, restoran ini mengetengahkan kelainan dengan dekorasi klasik yang mengimbau suasana seolah-olah pengunjung berada di zaman 70-an.
Sejurus masuk ke dalam premis ini, lagu dendangan P Ramle serta dialog daripada filem arahan permata seni negara itu, akan menjadi halwa telinga pengunjung.
Digelar sebagai ‘Restoran Kukus P Ramlee’, premis yang dibuka dari jam 9 pagi hingga 3 petang itu sentiasa dipenuhi pelanggan, malah jika waktu puncak, pengunjung perlu beratur dan menunggu giliran untuk mendapatkan tempat.
Ruang makan yang selesa mampu memuatkan hampir 100 pelanggan dalam satu masa. Namun, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini jumlah pelanggan yang dibenarkan masuk adalah terhad.
Disebabkan dekorasi unik ini, pelanggan bagaikan merentas masa. Malah, pelayan di restoran ini juga mengenakan pakaian tradisional selain berbaju Melayu hitam dan bersongkok seperti masyarakat Melayu lama.


Dekorasi laman kedai yang berasaskan barangan ‘vintage’, termasuk aneka prop antik seperti basikal tua, mesin taip, serta kerusi dan meja kayu pastinya menerbitkan suasana nostalgia.
Malah, deretan tin kopi dan botol air lama di ruang utama dan televisyen lama serta kuda rotan menjadi tumpuan tarikan di kaunter pembayaran.
Bagi kaki ‘selfie’ pula, jangan lepaskan peluang merakam gambar di restoran unik ini untuk dijadikan kenangan.
Harga berpatutan, Tongmo menu istimewa
Selain menyediakan suasana latar yang unik, restoran ini juga menawarkan harga makanan yang berpatutan dengan hidangan istimewa ‘Tongmo’.
Pasti ada yang tertanya-tanya apa itu Tongmo? Sebenarnya Tongma merupakan makanan tradisional rakyat Kemboja yang banyak di jual di negara lain termasuk Thailand, namun agak sukar dijumpai di Malaysia.

Tongma atau ‘Sosej Kemboja’ ini merupakan daging cincang yang diperap dengan rempah istimewa dan disumbat ke dalam usus lembu nipis.
Disebabkan ia agak ‘rare’, menu ini menjadi pilihan pelanggan yang berkunjung ke retoran ini. Difahamkan, restoran ini menjual 200 hingga 400 Tongma sehari.
Pengunjung yang mahu menikmati Tongma, eloklah datang awal memandangkan menu ini sangat laris dan cepat habis.

Selain Tongmo, masakan cita rasa Pahang seperti gulai patin tempoyak, patin masak asam pedas, sambal tempoyak pucuk ubi kayu, ayam masak kunyit, dan kari kaki ayam turut dijual.
Selain lauk-pauk cita rasa Pahang, kedai makan ini juga menyediakan sarapan klasik seperti lempeng kelapa, pisang dan ubi rebus serta telur goyang bersama minuman kopi kampung.
Difahamkan, kedai berkenaan mula beroperasi sejak lima tahun yang lalu dan kerana imejnya yang unik premis itu juga sering tular di media sosial.
Bagi mereka yang menetap di sekirar Kuala Lumpur dan Lembah Klang jangan lepaskan peluang berkunjung ke restoran ini. Jadi apa tunggu lagi! – Malaysiapost