Pasukan pembelaan Najib diminta lengkapkan hujahan esok

Pasukan pembelaan Najib diminta lengkapkan hujahan esok

PASUKAN pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak diminta berpegang kepada janji untuk melengkapkan hujahan menjelang esok berhubung kes rayuan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC) membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Ia diminta oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil agar pasukan pembelaan itu perlu mengakhiri hujahan mereka sebelum tengah hari esok
.
“Selesaikan hujahan anda menjelang tengah hari dan jika tidak anda perlu berbuka puasa di sini,” katanya yang mengundang ketawa daripada mereka yang berada di mahkamah.

Pihak pembelaan sepatutnya mengakhiri hujahan mereka Khamis lalu tetapi memohon tambahan sehari untuk berbuat demikian pada Isnin.

Bagaimanapun, pendengaran diteruskan sehingga 4.30 petang hari ini dan peguam Najib, Farhan Read berkata beliau memerlukan sedikit masa lagi untuk menyelesaikan hujahannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram berkata, permintaan tersebut akan memendekkan tempoh masa yang diperuntukkan kepada hujahan pihak pendakwaan.

”Mereka diberi enam hari dan saya hanya tiga hari. Mereka perlu melengkapkan hujahan mereka menjelang esok dan kami akan memulakan hujahan kami pada Rabu ini,” katanya dipetik Sinar Harian, hari ini.

Terdahulu, Farhan berkata Najib tidak mempunyai kepentingan khusus dalam SRC apabila jaminan kerajaan diluluskan.

Pihak pembelaan berhujah bahawa tidak ada bukti yang menunjukkan Najib terlibat atau mempunyai pengetahuan mengenai RM42 juta yang dipindahkan daripada SRC ke akaun bekas Perdana Menteri itu. – Malaysiapost

Komen