Hannah seronok, tak letih jalani ‘puasa’

Hannah seronok, tak letih jalani ‘puasa’

Najamuddin Mohd Nor

HARI ini, hari pertama umat Islam di Malaysia menjalani ibadat puasa. Namun begitu, ada juga pengganut agama lain mengambil kesempatan untuk belajar dan merasai sendiri pengalaman berpuasa.

Itulah yang terjadi kepada Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang turut tidak melepaskan peluang bagi merasai sendiri pengalaman dan keseronokan berpuasa.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, pemimpin muda DAP itu memberitahu, dirinya telah berjaya berpuasa hari ini mengikut caranya sendiri.

“Saya berjaya puasa hari ini. Sukses! Berjaya tak makan, tapi saya minum. Esok saya cuba lagi,” catatnya.

Ditanya apakah yang membuatkan beliau beria-ia untuk belajar berpuasa kali ini, Hannah memberitahu dirinya sering dicabar oleh rakan-rakan untuk merasai pengalaman berpuasa.

“Kawan-kawan saya Kristian dan Muslim selalu galakkan saya cuba untuk berpuasa, tapi saya tak pernah cuba.

“Saya ingatkan saya tidak mampu bertahan lapar, tapi hari ini saya cuba puasa daripada makan, saya minum sahaja,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.

Meskipun hanya berpuasa dengan tidak makan, Hannah berkata, dirinya tidak terasa lapar. Malah Hannah mengakui beliau tidak merasa keletihan hari ini.

“OK. Cuma saya kena sibuk bekerja jangan fikirkan mengenai makanan.

“Saya diberitahu ada banyak faedah kesihatan jika berpuasa. Hari ini tak rasa letih, jadi esok saya nak cuba lagi,” katanya.

Ditanya adakah beliau akan berpuasa seperti pengganut Islam yang menahan lapar dan dahaga esok, Hannah menjelaskan beliau belum bersedia lagi melakukannya.

“Saya tak pasti mampu bertahan atau tidak. Saya go slow, yang penting boleh kekalkan sebulan dan tak berputus asa,” katanya yang memberitahu menu berbukanya hari ini dengan beberapa biji tamar, sup ayam dan roti. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen