8 individu terbabit iklan judi Aidilftri ditahan

8 individu terbabit iklan judi Aidilftri ditahan

SERAMAI lapan individu termasuk tiga wanita ditahan berhubung video iklan mempromosi judi untuk sambutan Aidilfitri yang tular semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata mereka yang ditahan itu termasuk pelakon, ejen, juruvideo dan produser iklan berkenaan.

Katanya, setakat ini PDRM menerima 38 laporan polis berhubung video iklan terbabit.

“Susulan siasatan dijalankan, polis berjaya mengesan dan menahan lapan individu termasuk lima lelaki dan tiga wanita disyaki terlibat sebagai pelakon, ejen artis, juruvideo/kamera serta produser/pengarah video tersebut.

“Kesemua individu yang ditangkap mengaku menerima bayaran bagi pembikinan penggambaran video tersebut yang diadakan di dua lokasi iaitu di Ampang dan Hulu Langat, Selangor pada 13 Mac lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kelapan-lapan suspek akan ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Polis masih berusaha mengesan dalang sebenar di sebalik pembikinan video tersebut.

“PDRM tidak akan berkrompomi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam apa jua aktiviti perjudian di negara ini.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi kerana siasatan masih dijalankan dan mereka yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya kepada polis,” katanya. – Malaysiapost

Komen