Dihentam netizen, admin laman sosial KKM ‘koyak’?

Dihentam netizen, admin laman sosial KKM ‘koyak’?

PENGENDALI (admin) laman sosial Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dikatakan ‘koyak’ apabila hantaran maklumat di Facebook (FB) dan ciapan di Twitter rasmi kementerian berkenaan semakin teruk dihentam warganet.

Sejak beberapa hari lalu beberapa perkongsian KKM menjadi sasaran kecaman netizen yang rata-rata tidak puas hati susulan peningkatan kes harian Covid-19. 

Terbaharu semalam, satu perkongsian di laman FB KKM mengenai pecahan kes baharu Covid-19 mengikut negeri, pada 22 April 2021 dipenuhi dengan ribuan komen gara-gara adminnya membalas komen di hantaran itu dengan nasihat kepada warganet. 

“Admin faham korang semua bengang kes (Covid-19) naik. 
“Tapi admin nak cakap satu je, hormat sikit bulan Ramadan ni. Bahasa tu berlapik lah sikit. Jangan kurang ajar sangat,” kata admin terbabit. 

Tangkap layar daripada komen oleh pengendali Facebook KKM

Nasihat itu dilihat ‘menghangatkan’ keadaan dengan rata-rata netizen menyindir pengendali laman FB terbabit ‘koyak’ dan tidak tahan dikecam. 

Setakat ini sudah 9,200 komen di hantaran FB itu dengan 11,000 perkongsian serta mendapat 50,000 reaksi.

Admin bagi laman Twitter rasmi KKM juga menjadi sasaran apabila membalas komen seorang pengguna Twitter dengan nama azliy@azliyyyy di satu perkongsian mengenai Hari Bumi. 

“Sembang bumi pulak admin ni. Pergi kira kes sana. Bumi biar orang lain cerita,” komen pengguna terbabit seolah-olah menyindir ciapan dibuat admin berkenaan.

Komen itu dibalas oleh admin dengan soalan ‘Apa masalah saudara?’ yang kini menjadi ‘tranding’.

Setakat ini ia mendapat 9,300 ulang ciap, 5,491 tanda suka dan 651 komen. – Malaysiapost 

Komen