Sikap prihatin PM diakui rakyat – Mas Ermieyati

Sikap prihatin PM diakui rakyat – Mas Ermieyati


RAKYAT memperakui keprihatinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menjaga kebajikan mereka, kata Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Naib Srikandi Bersatu itu juga menegaskan kaji selidik Merdeka Center yang mendapati 67 peratus rakyat Malaysia menyokong corak pentadbiran Perdana Menteri telah membuktikan kerajaan PN mengamalkan ketelusan dan integriti dalam menjalankan tanggungjawab.

“Alhamdulillah, kebenaran tetap terbukti! Kaji selidik Merdeka Center mendapati ‘approval rating’ Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kini amat baik dan stabil iaitu 67 peratus positif dikalangan pengundi Semenanjung Malaysia.

“Merdeka Center juga mendapati sokongan terhadap Perdana Menteri amat kuat dikalangan pengundi Melayu (83%) yang merupakan majoriti penduduk Malaysia.

“Sebahagian besar pengundi (74%) menghargai keprihatinan Kerajaan PN dalam menjaga kebajikan rakyat ketika dirundung wabak Covid-19. Disamping itu juga, 70 peratus daripada pengundi merasakan Kerajaan PN menangani wabak Covid-19 dengan cekap dan teratur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Masjid Tanah yang melompat menyertai Bersatu itu juga menjelaskan rakyat semakin percaya terhadap kerajaan PN yang menguruskan pandemik Covid-19 di samping berusaha keras bagi memastikan ekonomi negara berada di tahap yang baik.

“56 peratus pengundi bersetuju bahawa Kerajaan PN mempunyai ‘visi dan perancangan yang jelas’ bagi mengembalikan kekuatan ekonomi Malaysia yang jatuh akibat daripada wabak ini, disamping kelemahan dan kepincangan pentadbiran kerajaan-kerajaan yang lalu.

“Pembangkang kerap mengapi-apikan sentimen rakyat dengan pelbagai tohmahan dan gimik murahan untuk memberikan persepsi buruk terhadap Kerajaan. Bagi saya ini adalah untuk menutup kelemahan mereka sendiri,” kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu.

Semalam, Badan penyelidik Merdeka Center mendapati 67 peratus rakyat di Semenanjung menyokong kepimpinan Muhyiddin sebagai perdana menteri dan menyifatkan penilaian itu sebagai stabil.

Merdeka Center melaporkan tahap sokongan terhadap Muhyiddin yang dicatatkan adalah 74 peratus antara Jun dan Julai tahun lalu. Tahap terendah dicatatkan pula adalah 63 peratus pada Januari lalu.

Sebilangan besar responden Melayu (83 peratus) menyokong Muhyiddin, berbanding 30 peratus responden Cina dan 66 peratus responden India. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/23/67-peratus-sokong-muhyiddin-pm-merdeka-center/

Komen