Peniaga burger kena kompaun, Pemuda Umno Kelantan sedia khidmat guaman
PEMUDA Umno Kelantan menawarkan bantuan guaman kepada seorang peniaga burger yang telah dikompaun RM50,000 kerana beroperasi lebih waktu yang dibenarkan dalam perintah kawalan pergerakan (PKP) di negeri itu.
Ketua Pemuda Umno Kelantan Noor Hariri Mohamed Noor, nasib malang Wan Mohd Faisal Wan Kadir mendapat perhatian pihaknya yang akan membantu untuk mendapatkan pengurangan nilai kompaun itu.
“Barisan Peguam Pemuda Umno Negeri Kelantan, yang diketuai oleh Lt.Kol. Bersekutu (PA) Hj. Nik Saiful Adli Burhan, melalui firma guaman Tetuan Irmohizam Rosley & Nik Adli, akan meneliti kes saman ini bagi pihak Wan Mohd Faisal.
“Pemuda UMNO Kelantan melalui peguam akan membantu merayu pengurangan kompaun dengan menyediakan surat representasi peguam kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, Noor Hariri berkata, Pemuda Umno Kelantan berpendapat bahawa saman seperti ini tidak sepatutnya berlaku dan perlu diberi pertimbangan secara waras oleh pihak berkuasa memandangkan rakyat yang tiada pekerjaan tetap seperti Wan Mohd Faisal ini, baru sahaja mula kembali mendapatkan rentak pencarian ekonomi mereka yang terjejas teruk akibat pandemik bahaya ini.
“Atas alasan apa pun yang diberikan sepatutnya faktor timbang rasa perlu ada sebelum mengeluarkan sesuatu saman. Apatah lagi alasan lebih masa ini tidak pun menjadi asbab utama penularan virus memandangkan tidak ada pelanggan pun yang menunggu berasak-asak,” katanya.
Justeru, Pemuda Umno Kelantan memohon agar Kerajaan Pusat dan Negeri melihat balik SOP ini bagi kes-kes yang melibatkan peniaga bulan Ramadhan yang semestinya berada dalam keadaan terdesak untuk mencari sesuap nasi demi survival hidup keluarga.
“Kami patuh dengan kehendak undang-undang, namun sedikit pengecualian mungkin boleh dibuat bagi melegakan para peniaga yang kais pagi makan pagi ini.
“Terpanggil dengan keluhan anak muda yang gigih mencari pendapatan serba kekurangan di musim PKP ini, Pergerakan Pemuda Umno Kelantan bersedia memberi bantuan guaman kepada beliau bagi berhadapan dengan saman ini. Ini sejajar dengan khidmat bakti Pemuda UMNO yang sentiasa berkhidmat untuk kebajikan rakyat,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial kisah Wan Mohd Faisal yang berniaga burger di hadapan rumahnya di Pengkalan Chepa Kelantan dikenakan saman kompaun RM50,000 .
Untuk rekod, seluruh Kelantan kini menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Alahai dugaan bulan puasa… nego (berniaga) burger depe (depan) tangga rumah… pukul 11 malam polis mari. Nego burger kena kompaun 50k,” rintihnya. – Malaysiapost