Wanita mengaku jual Sambal Nyet palsu

Wanita mengaku jual Sambal Nyet palsu

SEORANG wanita akhirnya tampil membuat pengakuan menghasilkan Sambal Nyet palsu yang ciptaan aslinya oleh Cef selebriti media sosial, Khairulaming.

Menurut Khairulaming di laman Twitter, wanita itu datang bertemunya pagi semalam dan dia telah membuat tiga tuntutan terhadap individu tersebut.

Pertama, katanya, adalah agar wanita tersebut membayar pampasan tunai, namun duit tersebut tidak akan dipulangkan kepada pembeli memandangkan proses memulangkan wang bukan mudah selain dia mahu pembeli turut bertanggungjawab dalam isu ini.

“Oleh itu, 100 peratus duit ini aku akan sedekah kepada asnaf yang memerlukan di bulan puasa. Aku tak akan ambil satu sen pun.

“Kedua, video permohonan maaf secara umum. Ini adalah videonya meminta maaf dan mengaku kesilapannya yang palsukan kandungan sambal dan juga rekaan botol Sambal Nyet,” ciapnya.

Wanita tersebut mengaku memalsukan Sambal Nyet milik Khairulaming seterusnya dituntut supaya membuat kenyataan pengakuan salah di balai polis.

“Tadi dia dah pergi ke Balai Polis Damansara yang aku buat laporan semalam, dan buat pengakuan bertulis di situ. Semua maklumat dan pengakuan salah dan dirakam dalam laporan polis.

“Selain itu, kedai dia pun sudah disekat daripada Shopee walaupun semalam nama kedai sudah tukar dari MasturaAliyah ke DK Perfume Shop,” katanya.

Tambah Khairulaming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, 29, berharap agar isu tersebut menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak yang cuba untuk melakukan perkara sama pada masa hadapan. – Malaysiapost

Komen