Jenaka rogol: Menteri perlu pro aktif, jika tidak letak jawatan – Dr Maszlee
BEKAS Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menggesa penggantinya, Datuk Dr Radzi Jidin serta dua timbalannya tidak terus membisu berhubung isu melibatkan pelajar sekolah, Ain Husniza Saiful Nizam, yang mendedahkan ‘gurauan rogol’ gurunya baru-baru ini.
Menerusi beberapa hantaran di Twitter, Dr Maszlee menggesa Dr Radzi serta timbalannya, Dr Mah Hang Soon dan Muslimin Yahaya supaya menunjukkan sikap kepemimpinan, bukannya terus diam membisu.
Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, isu dibangkitkan Ain sebenarnya sudah lama berlaku dan perlu ditamatkan.
“Sikap ditunjukkan menteri serta dua timbalannya dalam kes ini akan mengakibatkan ibu bapa lebih sukar mempercayai pihak sekolah.
“Mereka perlu lebih proaktif, jika tidak letak jawatan saja!
“Sekolah sepatutnya tempat paling selamat untuk kanak-kanak!” katanya.
Dr Maszlee juga menggesa Kementerian Pendidikan melaksanakan memo dikeluarkannya ketika memegang jawatan itu pada Disember 2019, iaitu supaya memecat guru yang didapati bersalah mendera pelajar sama ada secara fizikal atau seksual.
Memo itu turut mengatakan guru yang sedang berdepan siasatan tidak boleh dibenarkan menemui mana-mana pelajar, selain amalan memindahkan guru juga perlu dihentikan segera. – Malaysiapost