Jenaka rogol: Wanita Umno bidas tingkah laku pengetua

Jenaka rogol: Wanita Umno bidas tingkah laku pengetua

WANITA Umno membidas sekeras-kerasnya tindakan dan tingkah laku pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puncak Alam yang memperlekehkan pelajar, Ain Husniza Saiful Nizam kerana mendedahkan gurauan seks dalam pembelajaran serta telah diugut dengan ancaman rogol.

Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, tingkah laku dan tindakan pengetua sekolah berkenaan dalam komen hantaran yang dimuatnaik di Facebook atas nama “Aimanaizad Sarimahmohamednor” disifatkan tidak melambangkan keintelektualan.

“Malah kami berasa hairan di sebalik tindakan yang melindungi dan bertanggungjawab ke atas pelajar tersebut, pengetua terbabit ini pula dikatakan bertindak mahu menggantung persekolahan Ain Husniza,” katanya di Facebook, hari ini.

Norliza yang juga Ketua Wanita Umno Pulau Pinang berkata, Kementerian Pendidikan ajar bertegas dengan mengambil tindakan displin sewajarnya terhadap kelakuan yang tidak profesional pengetua berkenaan, selain guru yang terlibat dalam gurauan seksual itu.

“Kami juga menggesa Kementerian Pendidikan menyelesaikan siasatan dengan segera dalam isu gurauan seksual dan ancaman dirogol ini serta memastikan pelajar terbabit mendapat pembelaan sewajarnya termasuk tidak digantung atau dibuang dari sekolah.

“KPM perlu mengeluarkan satu pemakluman yang rasmi dalam siasatan ini sebagai satu mesej jelas bahawa sebarang tingkah laku yang memperlekehkan martabat wanita tidak wajar diterima langsung dalam sistem pendidikan negara.

“Sehubungan itu, kami berdiri teguh bersama Ain Husniza dalam mendepani isu ini, malah kami bersedia menawarkan khidmat peguam sekiranya perlu dalam mempertahankan haknya sebagai pelajar dan wanita,” katanya.

Terdahulu, Ain Husniza mendakwa menerima ancaman buang sekolah apabila mendapat surat amaran yang pertama.

Menerusi Twitternya, pelajar itu meluahkan kekecewaannya apabila sekolah yang dicintainya bertindak sedemikian kerana kelantangannya berkongsi perkara itu di media sosial.

Pelajar itu mendakwa menerima surat amaran tersebut selepas tidak hadir ke sekolah selama tiga hari.

“Pada hari sama surat dikirimkan, adalah hari yang sama dengan ayah saya bertemu dengan pengetua.

“Dia mengatakan menyokong saya pada hari itu, tetapi meneruskannya dan melakukan ini (notis amaran) pada hari yang sama,” katanya.

Selain itu, Ain Husniza turut mempersoalkan mengapa dia dihukum kerana meluahkan pendapat dan pemikirannya.

“Di manakah kita sebagai pelajar yang seharusnya merasa selamat sekarang? Saya mendapat surat amaran bahawa saya akan diusir kerana bercakap mengenai perkara yang betul.

“Guru itu dan pelajar yang membuat ancaman rogol tidak diambil tindakan terhadap mereka, tetapi saya diusir. Ini akan merosakkan hidup saya,” katanya

Sementara itu, bapa Ain, Saiful Nizam Abdul Wahab menyiarkan tangkap layar di Facebook berkaitan komen yang katanya dilakukan oleh seorang guru di sekolah Ain.

Wanita yang didakwa sebagai pengetua itu menggelar Ain sebagai munafik dan anak perempuan yang kurang ajar di satu poster forum dalam talian yang bertajuk “Speak Up!”.

Saiful telah berkongsi profil Facebook guru itu, yang nampaknya mengesahkan bahawa dia bekerja di sekolah Ain.

“Walaupun dia marah, di manakah adabnya? Siapa yang bersikap kasar,” ujarnya. – Malaysiapost

Komen