Kompaun terus golongan VIP, kayangan di lapangan – Ismail Sabri

Kompaun terus golongan VIP, kayangan di lapangan – Ismail Sabri

TAK perlu tunggu berminggu-minggu arahan daripada Jabatan Peguam Negara, sebaliknya polis diminta mengeluarkan kompaun terus di lapangan kepada golongan ‘kayangan’ termasuk VIP dan selebriti jika melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Perkara itu ditegaskan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya tidak timbul tanggapan rakyat kononnya kerajaan dan pihak berkuasa mengamalkan ‘double standard’ dalam mengeluarkan kompaun.

Beliau berkata, banyak dakwaan dilemparkan terhadap kerajaan berkaitan tindakan berbeza terhadap golongan kayangan dan rakyat biasa, walaupun kompaun telah dikeluarkan terhadap VIP dan selebriti.

“Walaupun ada jarak dua atau tiga minggu, tapi akhirnya tindakan tetap dikenakan dari segi kompaun hingga RM30,000, RM10,000 dan sebagainya.

“Tindakan memang dilakukan tapi tak ‘on the spot’. Jadi kita berpandangan sesiapa saja terutama melibatkan VIP seperti selebriti dan ahli politik, jika didapati ada pelanggaran SOP, polis perlu keluarkan kompaun di lapangan.

“Tak perlu tunggu sehingga berminggu-minggu untuk dapatkan keputusan dari Jabatan Peguam Negara sebab dalam akta memang boleh kompaun di lapangan,” katanya.

Beliau berkata tindakan segera itu perlu bagi mengelak salah faham rakyat terhadap kerajaan.

“Bagi kita sesiapa saja… VIP ke, kayangan ke, rakyat ke, sesiapa salah tak terlindung oleh undang-undang,” katanya. – Malaysiapost

Komen