Yayasan Jamin ceriakan keluarga Allahyarham Tembakau

Yayasan Jamin ceriakan keluarga Allahyarham Tembakau

MENJELANG Aidilfitri, nasib keluarga kartunis terkenal, Allahyarham Tembakau mendapat perhatian Yayasan Jamin, hari ini.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Pengasas Yayasan Jamin, Datuk Sohaimi Shahadan berkongsi pengalaman menziarah rumah balu Allahyarham dan tiga anaknya bagi memberi sumbangan sempena Aidilfitri.

Menurutnya, sempena Ramadan ini, Yayasan Jamin mengambil kesempatan untuk menyantuni dan bertanya khabar kepada balu bekas rakan-rakan kartunis yang telah meninggal dunia. 

“Hari ini Tok Mie ditemani Bob atau Bukhari turun padang menyampaikan sumbangan barangan dan sedikit wang tunai kepada balu-balu rakan kartunis yang telah meninggal dunia. 

“Memulakan perjalanan prihatin yayasan Jamin hari ini kami singgah ke rumah Allahyarham kartunis Tembakau atau Azhar Ahmad.

“Beliau meninggalkan seorang isteri dan tiga anak yang terus ‘struggle’ menjalani kehidupan setelah kehilangan Tembakau,” katanya.

Sohaimi yang pernah menjadi kartunis mempunyai hubungan akrab dengan penulis komik terkenal ‘Kartini Forever’ itu.

“Sebagai Sokongan kepada Keluarga arwah kartunis Tembakan yang pernah menjadi sahabat Tok Mie semasa hayat beliau, hari ini Tok Mie turun padang bertanya khabar isteri dan anak-anaknya.

“Sebagai kartunis, Tok Mie memahami kehidupan kartunis setelah muncul era digital… memang kehidupan mereka jadi payah. Kerana karya-karya mereka tidak lagi dihargai di media Cetak. Semuanya beralih secara online. 

“Banyak syarikat penerbitan majalah gulung tikar. Nasib kartunis tidak menentu dan ramai kena mengobankan bakat seni dan beralih arah ke bidang lain,” katanya.

Pada masa sama, Sohaimi menggalakkkan peminat Tembakau membantu meringankan keperitan keluarga Allahyarham dengan membeli komik Kartini yang pernah menjadi fenomena pembaca suatu ketika dulu.

“Kepada sahabat-sahabat yang ingin membantu kehidupan keluarga arwah mudah saja… belilah koleksi karya monumental Tembakau bertajuk Kartini yang disusun dan diterbitkan oleh Book Cafe dan Komik M.

“Boleh juga layari Facebook Tembakau Kartunis. Semoga sumbangan kita dapat meringankan beban keluarga Allahyarham yang telah pergi meninggalkan kita beberapa tahun lepas di bulan ramadan,” katanya.

Tembakau atau Azhar Ahmad, 46, meninggal dunia pada 18 Jun 2018 akibat komplikasi jantung. – Malaysiapost 

Komen