ICU Medan siap dibina di HKB

ICU Medan siap dibina di HKB

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) selesai membina Unit Rawatan Rapi (ICU) Medan atau ‘Field ICU’ di Hospital Kepala Batas (HKB) Pulau Pinang dalam usaha membantu memastikan rawatan terbaik diberikan kepada pesakit terutamanya yang kritikal Covid-19, sekali gus mengurangkan kadar kematian akibat wabak berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihak ATM selesai mendirikan ICU Medan itu di perkarangan HKB semalam.

Menurutnya, ICU itu menggunakan konsep modular di mana ianya mampu merawat sehingga 27 pesakit kritikal Covid-19 yang memerlukan bantuan pernafasan serta peralatan ‘life support’ lain.

“Selain itu, makmal modular dan unit radiologi modular turut didirikan bagi memberikan kemudahan perkhidmatan sokongan klinikal.

“Perkhidmatan ‘Field ICU’ ini akan mula beroperasi tidak lama lagi secara berperingkat-peringkat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata, sebagai permulaan, seorang pakar anestesiologi dan rawatan rapi, dua orang pegawai perubatan dan 14 orang jururawat terlatih dalam rawatan rapi akan memulakan tugas di ICU berkenaan.

“Kekuatan tenaga kerja daripada pelbagai kategori ini akan dipertingkatkan lagi mengikut keperluan dari semasa ke semasa.

“Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK) ATM juga sudah pernah mendirikan hospital medan untuk pesakit ‘non-Covid’ iaitu di Tawau, Sabah; serta Makeshift Covid-19 Hospital di Penjara Pokok Sena, Kedah; dan terkini di Kapit, Sarawak,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, ATM juga memainkan peranan penting dalam membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menjayakan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS dan PKRC MAEPS 2.0 yang mampu menampung sehingga 8,000 katil bagi merawat pesakit-pesakit Covid-19 negeri-negeri Lembah Klang dan sekitarnya.

“Kolaborasi antara agensi sebegini sentiasa dialu-alukan dalam usaha kita sebagai satu pasukan memerangi pandemik Covid-19.

“Semoga segala usaha ini dapat membantu dalam memastikan rawatan yang terbaik diberikan kepada pesakit-pesakit terutamanya yang kritikal Covid-19 dan seterusnya mengurangkan kadar kematian akibat Covid-19 di Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

Komen