Mahkamah putuskan anak luar nikah tak berhak dapat kewarganegaraan

Mahkamah putuskan anak luar nikah tak berhak dapat kewarganegaraan

MAHKAMAH Persekutuan hari ini memutuskan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang juga anak kepada lelaki tempatan dan ibunya warga Filipina, tidak berhak mendapat kewarganegaraan Malaysia.

Dalam keputusan tipis 4-3 yang disampaikan secara maya, Hakim Tan Sri Rohana Yusuf berkata rayuan itu ditolak kerana anak lelaki itu lahir di luar perkahwinan dan ibu bapanya hanya berkahwin lima bulan kemudian, lapor FMT.

Rohana yang juga Presiden Mahkamah Rayuan, berkata Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa anak luar nikah perlu mengikut kewarganegaraan ibunya.

Turut bersetuju ialah Hakim Vernon Ong, Zabariah Mohd Yusof dan Hasnah Mohammed Hashim.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Hakim Nallini Pathmananthan dan Mary Lim Thiam Suan pula di pihak minoriti.

Tengku Maimun berkata, kebebasan asasi sentiasa berkembang dan penolakan taraf kewarganegaraan adalah diskriminasi kerana melanggar peruntukan tentang kesamaan dalam Perlembagaan.

Beliau berkata, kewarganegaraan seorang anak dapat ditentukan oleh ibu hanya jika identiti bapa tidak diketahui.

Anak lelaki itu yang identitinya dirahsiakan atas perintah mahkamah, dilahirkan oleh pasangan yang pada awalnya tidak berkahwin secara sah.

Kanak-kanak itu hanya memegang pasport Filipina dan dilahirkan pada 2010, kemudian dibawa ke Malaysia oleh ibunya dari Filipina.

Ibunya mengahwini lelaki warga Malaysia berusia 55 tahun pada Februari 2011, lima bulan selepas kanak-kanak itu dilahirkan dan keluarga berkenaan kini tinggal bersama di Malaysia.

Ujian DNA menunjukkan lelaki 55 tahun itu adalah bapa kandung.

Penjagaan dan kawalan kanak-kanak itu diletakkan di bawah pasangan berkenaan namun permohonan anak lelaki itu untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan tidak diluluskan pada September 2012.

Berikutan itu, satu saman pemula difailkan menerusi bapanya di Mahkamah Tinggi pada 2016, dengan menamakan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Ibu bapa kanak-kanak lelaki berkenaan memohon deklarasi bahawa anak mereka adalah rakyat Malaysia dan mengarahkan pihak berkuasa untuk mendaftarkannya sebagai warganegara. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen