Masjid, surau di Pahang dibenar solat Jumaat, fardu

Masjid, surau di Pahang dibenar solat Jumaat, fardu

SEMUA masjid dan surau kebenaran Jumaat di Pahang boleh melakukan solat Jumaat ketika dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD).

Perkara itu diputuskan selepas diperkenan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Datuk Dr Zulkifle Ali berkata, seramai 50 orang dibenarkan menunaikan solat Jumaat di masjid negeri dan masjid daerah.

Katanya, masjid kariah dan surau kebenaran Jumaat pula membabitkan 12 orang sahaja.

“Bagi solat fardu pula, hanya 12 orang dibenarkan di masjid negeri, masjid daerah, masjid kariah, surau kebenaran Jumaat dan surau.

“Sebarang aktiviti selain solat Jumaat dan fardu dalam tempoh PKPD dan PKP di masjid, surau kebenaran Jumaat dan surau tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, pengurusan masjid dan surau diminta memastikan jemaah yang hadir mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurutnya, ahli kariah yang dikenal pasti tidak bergejala dan menerima jemputan serta yang sudah menerima vaksin diberikan keutamaan untuk hadir solat Jumaat dan solat fardu.

“Kehadiran jemaah hanya dibenarkan dalam kalangan ahli kariah yang bermastautin sahaja.

“Bukan warganegara tidak dibenarkan hadir ke masjid dan surau sepanjang tempoh PKP dan PKPD dilaksanakan.

“JAIP akan membuat pemantauan dan boleh mengambil tindakan kepada masjid atau surau yang tidak mematuhi SOP dan arahan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya. – Malaysiapost

Komen