Cetus kegusaran awam, polis tahan pemilik Twitter Abah@ChairmanGLC

Cetus kegusaran awam, polis tahan pemilik Twitter Abah@ChairmanGLC

POLIS menahan seorang lelaki berusia 36 tahun yang juga pemilik akaun Abah@ChairmanGLC tengah malam tadi susulan ciapan di laman Twitternya yang boleh mencetuskan kegusaran awam.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, penahanan itu dibuat bagi membolehkan polis menjalankan siasatan berhubung ciapan dibuat pemilik akaun Twitter berkenaan.

Katanya, lelaki itu ditahan pada jam 12.05 tengah malam tadi di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Beliau berkata, pemilik akaun Twitter itu sebelum ini menghantar satu ciapan yang boleh mendatangkan kegusaran awam seperti berikut:

“Betul. MySejahtera tak dapat funding RM70 juta tu. MySejahtera and current portal are exclusive of the budget. The one yang dapat funding RM70 juta tu adalah team yang manage AstraZeneca. From the booking sampailah cucuk vaksin. Dan main con dia adalah..jeng jeng jeng.”

Azman berkata, ciapan yang dimuat naik lelaki berkenaan pada 29 Mei itu mendapat 4,707 ciapan semula, 115 petikan ciapan dan 3,783 “likes”.

“Turut dirampas daripada tangkapan yang bekerja sebagai jurujual peralatan komputer itu ialah satu unit telefon bimbit, sebuah komputer, sebuah router dan sebuah modem yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan kes ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mahkamah turut membenarkan permohonan reman selama sehari hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu (No.2) 2021 kerana menyebabkan atau berkemungkinan menyebabkan ketakutan atau kebimbangan orang awam.

Tambah Azman, suspek berdepan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Polis menasihatkan orang awam agar berhati-hati dalam membuat atau berkongsi apa-apa penerbitan yang mengandungi berita tidak benar dan boleh menimbulkan kegusaran serta kebimbangan orang ramai berhubung langkah diambil kerajaan dalam usaha untuk mengekang penularan Covid-19,” katanya.

Azman berkata, pengguna media sosial juga dinasihatkan supaya menjadi pengguna bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform itu hingga boleh mendatangkan kegentaran awam dan mengganggu keharmonian negara. – Malaysiapost

Komen