Sikap mukmin di akhir zaman

Sikap mukmin di akhir zaman

“Bilakah berlakunya al-Sa’ah (Kiamat)?”, soalan yang pernah ditanyakan oleh a’rabi (arab pendalaman) kepada Nabi SAW yang mana dialog kedua-duanya direkodkan pada hadis fitan (fitnah-fitnah) atau peristiwa akhir zaman.

Ada pihak memahami hadis di atas sebagai anjuran mencari petanda-petanda kiamat lalu mereka mencarinya di dalam catatan dan tulisan para ulama kemudian diolah dan dicantum bagi menghasilkan gambaran lengkap tentang kiamat, sehingga ia seakan-akan hampir berlaku.

Apabila gambaran itu dijelaskan oleh para ilmuwan berpandukan kajian, kupasan dan ijtihad bernas maka gambaran kiamat kaya dengan hujah dan diiktiraf sebagai sebuah perbahasan ilmiah.

Sebaliknya, apabila ia dibincangkan oleh sekumpulan orang yang boleh dipertikaikan latar keilmuan, sikap dan pendirian mereka maka gambaran kiamat bukan sahaja tersasar daripada perkhabaran wahyu malah terus-menerus berputar-putar dalam petak petanda, masa dan watak-watak antagonis berlawan dengan protagonis.

Hakikatnya, Nabi SAW sendiri telah memberikan panduan bagaimana untuk memahami perkhabaran tentang fitnah akhir zaman.

Ia terkandung dalam pertanyaan Baginda kepada lelaki arab itu “apa persediaan anda?” (HR Bukhari dan Muslim). Motif Baginda berbuat demikian adalah untuk menjadikan isu kiamat sebagai panduan menyiapkan persediaan amal dan bukannya sebagai sebuah satira yang hanya membuatkan manusia terpegun.

Nabi SAW memberitahu, persediaan yang terbaik pada ketika itu ialah beramal dengan sebaik-baiknya, beribadat dengan sebaik-baik ibadat dan bersedia menghadapi segala kemungkinan yang akan datang.

Sabda Baginda “pada saat itu orang yang terbaik adalah orang yang menunaikan hak pemilikan daripada ternakannya dan beribadat kepada tuhannya. Dia bersedia memacu kudanya, menakutkan musuh dan bersama muslimin yang lain menakutkan mereka (musuh)” (HR Tirmizi).

Hadis ini sangat jelas mengajarkan kepada kita bagaimana untuk bersedia nebghadapi suasana akhir zaman. Ini berbeza dengan tanggapan peminat-peminat teori konspirasi yang sering mengikuti perkembangan teori-teori tentang akhir zaman yang mana berkesudahannya menjadikan mereka fanatik terhadap teori-teori terbabit.

Apa yang menyokong kuat kenyataan ini ialah, hadis di atas telah diletakkan oleh Imam Tirmizi dalam Kitab al-Fitan dengan rekod bilangan 2177, iaitu lebih awal daripada hadis-hadis yang menceritakan tentang Dajal, Imam Mahdi dan Nabi Isa AS.

Peletakkan ini menggambarkan bagaimana beramal salih adalah penyelamat sebenar orang yang beriman pada akhir zaman. Hadis-hadis tentang Dajal, Imam Mahdi dan Nabi Isa AS dibawakan kemudian daripada itu adalah sebagai panduan yang mesti diambil perhatian oleh orang yang bahawa Kiamat sudah menghampiri. Meskipun sudah hampir, mereka telah bersedia menghadapinya.

Kesedaran sentiasa bersedia amatlah diperlukan, ia tidak hadir sekelip mata atau tanpa usaha yang sewajarnya. Oleh yang demikian Nabi SAW mengingatkan kepada a’rabi itu untuk sentiasa mendahulukan Allah SWT dan Rasul-Nya dalam setiap perkara. Baginda bersabda kepada lelaki itu “apa persediaan anda untuk menghadapi KIamat?” A’rabi itu menjawab “cintakan Allah dan rasul-Nya”.

Lantas jawab Baginda “anda akan bersama dengan orang yang anda cintai”. Jawapan a’rabi itu tepat kerana dengan selalu mencintai Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW sahaja dapat menyemarakkan semangat beramal ibadat khasnya lagi pada zaman fitnah akhir zaman.

Pada ketika itu, ujian adalah berganda-ganda beratnya dan mengharapkan pertolongan daripada Allah dan Rasul-Nya sahaja dapat melepaskan diri daripada kerencaman ujian tersebut. Sementara pada Hari Akhirat, setiap yang berharap pada Allah dan Rasul-Nya akan terlepas daripada api neraka.

Umat Islam mesti memahami perkara disebutkan ini dengan jelas supaya mereka tidak dilalaikan oleh teori-teori fitnah akhir zaman yang direka oleh pihak-pihak tertentu yang boleh merosakkan akidah dan hubungan sesama muslim. Mereka disarankan supaya berfikir secara rasional dan menerima apa yang jelas sepertimana sabda Nabi SAW “tinggalkan apa yang meragukan, ambillah apa yang tidak meragukan.

Sesungguhnya jujur itu mendamaikan, bohong itu meragukan” (HR Tirmizi). Ke arah itu, umat Islam mesti mendapatkan pengetahuan dan maklumat daripada sumbernya yang sahih serta terjamin.

Sumber yang dimaksudkan ialah aliran perdana yang disepakati oleh sejumlah besar ahli ilmu dalam pelbagai bidang, yang mana mereka bersama-sama dengan satu tujuan iaitu memberikan kesejahteraan kepada manusia sejagat.

Dalam kefahaman Islam, mereka adalah al-Jama’ah (kelompok besar) atau majoriti umat Islam yang dicirikan oleh Nabi SAW “sesungguhnya Allah tidak menghimpunkan umat ku dalam kesesatan, dan tangan (penjagaan) Allah di atas jama’ah. Barang siapa yang berselisih maka perselisihannya membawa kepada neraka” (HR Tirmizi).

Jaminan Nabi SAW di atas boleh dilihat buktinya pada perkembangan agama Islam setelah wafatnya baginda. Agama Islam telah berkembang sehingga ke seluruh benua melalui dakwah yang dijalankan oleh jama’ah yang disebutkan oleh Baginda tersebut. Mereka adalah umat Baginda yang mengikuti metode dakwah Baginda dan semestinya orang-orang yang mengikuti Baginda terselamat daripada kesesatan.

Perkembangan dakwah ini akan berterusan sehingga ke hari kiamat sepertimana janji Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW “dan ketika kamu melihat manusia masuk ke dalam agama Allah berbondong-bondong” (Surah al-Masad: 2).

Musuh-musuh Islam tidak akan berjaya menghalang kemasukan tersebut walaupun mereka mencuba sedaya upaya kerana Allah SWT turut berfirman “dan Allah menyempurnakan cahaya-Nya walaupun dibenci oleh orang-orang kafir” (Surah al-Saf:8).

Umat Islam seharusnya menjadikan panduan-panduan yang berikan oleh ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis di atas dalam memilih dan mendapatkan maklumat sama ada berkaitan dengan kehidupan atau keagamaan. Mereka mesti bertanya kepada ahli yang berkelayakan dan bukan hanya merujuk sendiri kepada siaran atau paparan yang tidak diyakini keabsahannya.

Tindakan merujuk sendiri boleh membawa seseorang kepada kesalahan yang berbagai, antaranya ialah meneka-neka atau menilik yang pada hari ini kita biasa mendengarnya sebagai teori konspirasi.

Menurut Mantan Mufti Mesir, Prof Dr Ali Jum’ah, perlakuan meneka-neka atau menilik tidak hanya melibatkan objek seperti bulan, bintang dan keadaan tertentu, sepertimana umat-umat terdahulu melakukannya bagi menggambarkan situasi yang sedang atau akan berlaku.

Bahkan juga ia melibatkan kondisi atau peristiwa yang pernah berlaku malah direkodkan dalam sejarah. Apabila rekod ini digunakan bagi menggambarkan sesuatu pada masa akan datang maka ia telah mendahului realiti sebenar yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT.

Sekiranya gambaran tersebut diterima sebagai hiburan maka ia adalah hiburan yang lagha yang berdosa manakala jika ia diyakini maka ia menjadi pegangan karut yang haram di sisi Islam. Ia termasuk dalam larangan Nabi SAW “barang siapa yang mendatangi ahli tilik dan menanyakannya tentang sesuatu, lalu dibenarkan kata-katanya, tidak diterima solatnya selama 40 hari” (HR Muslim).

Justeru, apa yang terbaik dilakukan oleh umat Islam ialah terus kekal beribadah kepada Allah, menjaga amal kebajikannya, menjauhi maksiat dan segala sifat mazmumah serta bertawakal kepada Allah SWT. Mereka mesti meneladani sikap Umar al-Khattab RA yang menyerahkan segala-galanya pada Allah SWT.

Beliau menyebutkan “aku tidak peduli bagaimana keadaan aku dibangkitkan esok, apakah dalam keadaan aku sukai atau aku benci, kerana aku tidak tahu apakah baik itu terdapat pada apa yang aku suka atau pada apa yang aku benci”. – Malaysiapost

Penulis ialah Dr Hamidi Bin Ismail (pensyarah kanan USIM) & Abu Rujhan Al Tumpati (penceramah bebas)

Komen