YADIMart laku keras, hasil jualan cecah RM300,000 sebulan

YADIMart laku keras, hasil jualan cecah RM300,000 sebulan

PASAR raya YADIMart di Seri Kembangan, Selangor yang dikendalikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mencatatkan hasil jualan memberangsangkan sejak mula dilancarkan pada 10 April lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata perkembangan jualan dari bulan ke bulan meningkat 200 peratus sejak dilancarkan dengan anggaran RM100,000 ke RM300,000 setiap bulan.

Beliau berkata, bagi sebuah pasar raya yang baru beroperasi dan memfokuskan produk Bumiputera, Muslim di samping barangan tempatan, ini perkembangan yang amat baik.

“YADIMart yang berkeluasan 5,880 kaki persegi itu menawarkan lebih 5,000 produk daripada kategori segar dan keperluan isi rumah dengan sokongan agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan FELDA yang membekalkan produk mereka.

“Bulan ini sahaja, bilangan produk IKS yang masuk ke YADIMart meningkat 30 peratus. Saya alu-alukan pengusaha IKS untuk menempatkan produk mereka di YADIMart.

“YADIM sebagai sebuah agensi di bawah tanggungjawab saya akan terus mengorak langkah lebih cemerlang dalam sektor peruncitan melalui YADIMart,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau mengadakan tinjauan kali kedua ke YADIMart semalam dan bersyukur melihat pelanggan bertali arus berkunjung dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Zulkifli berkata, beliau berharap untuk melihat lebih banyak cawangan YADIMart dibuka di seluruh negara.

Pada masa sama, beliau telah mengarahkan YADIM meneliti dan melaksanakan segera perkhidmatan pembelian dalam talian dan penghantaran.

“Saya mahu YADIMart menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda khususnya kelompok B40 menerusi penglibatan serius dalam ekonomi gig.

“Bank makanan di YADIMart juga nampaknya sentiasa diisi. Ramai pelanggan suka membeli dan menyumbang barangan di rak Bank Makanan YADIM.

“Bagi saya, inilah antara keunikan YADIMart. Anda membeli bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi untuk rakyat Malaysia yang memerlukan,” katanya.

Menurut Zulkifli, bagi mereka yang kesempitan wang, boleh mengambil barangan di rak Bank Makanan YADIM dengan percuma.

“Saya doakan moga mereka akan datang semula, menyumbang pula kepada yang lain.

“Inilah falsafah Kemakmuran Bersama yang diterjemah oleh agensi-agensi agama di bawah tanggungjawab saya,” katanya.

YADIMart terletak di Jalan LP 3/5, Lestari Perdana, Seri Kembangan, Selangor. – Malaysiapost

Komen