TMJ: Cukuplah bergaduh penyokong JDT-Selangor FC
PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menasihatkan penyokong pasukannya dan Selangor FC tidak lagi bertelegah antara satu sama lain terutama di media sosial.
Tunku Mahkota Johor itu menyatakan perkara demikian ketika diminta menjawab soalan dikemukakan penyokong Selangor FC dalam sesi sembang santai bola sepak yang disiarkan secara langsung di Instagram milik penyampai Astro Arena, Hafizal Hamad malam tadi.
Penyokong Selangor itu mendakwa pertelagahan di antara kedua-dua pasukan itu sehingga membawa kepada pertikaian antara penyokong di media sosial didalangi beberapa individu pernah bekerja di JDT yang kini berkhidmat di Selangor FC.
Jelas baginda, dirinya tidak pernah cemburu dengan pasukan Merah Kuning itu namun mengakui mempunyai masalah dengan beberapa individu bekerja di Selangor FC yang sebelum ini bekerja dengan JDT.
“Mengapa saya harus cemburu dengan Selangor? Kalau saya tidak keluarkan individu yang hari ini bekerja dengan Selangor dan dahulunya bekerja di JDT, mungkin JDT tidak maju seperti sekarang.
“Cuma kalau nak kata saya cemburu dengan Selangor, mengapa nak cemburu kerana saya ada empat stadium, awak (merujuk kepada Selangor) tiada satu,” titah Tunku Ismail dalam sesi itu.
Menyentuh mengenai kenyataan pernah dibuat pemain import Selangor FC, Ifedayo Olusegun bahawa Selangor satu-satu pasukan hebat berdasarkan sejarah, Tunku Ismail mengakui perkara itu.
“Mungkin dalam sejarah Selangor lagi besar tetapi ikut keadaan sekarang JDT kelab terbesar. Saya bagi contoh berapa pusat latihan Selangor ada? Satu, JDT ada empat. Berapa stadium ada? JDT empat.
“Pernah ke ketika zaman kegemilangan Selangor mereka menang Liga Super lebih dua kali? JDT hatrik dua kali. Pernah ke Selangor menang pertandingan antarabangsa? JDT menang Piala AFC,” titah Tunku Ismail.
Tunku Ismail turut berkongsi perancangan JDT membawa pemain berkelas dunia pada masa depan sekiranya mempunyai kemampuan dari segi kewangan.
“Saya memang ada niat itu untuk membawa nama besar yang mampu menarik lebih ramai peminat ke stadium.
“Tetapi kalau tiada kemampuan kita kena sedar diri dan realistik belanja ikut kemampuan serta ada pendapatan lebih,” titah baginda.-Malaysiapost