Ini semuanya kesan Covid-19, tapi Ashraf Muslim reda

Ini semuanya kesan Covid-19, tapi Ashraf Muslim reda

PELAKON, Ashraf Muslim, terpaksa menanggung kesakitan di bahagian bahunya akibat kesan sampingan daripada jangkitan Covid-19 sebelum ini.

Ashraf memuat naik hantaran video di akaun Instagram (IG) miliknya, menunjukkan beliau sedang menjalani merawat di bahunya itu.

Beliau berkata, kesakitan dialami itu datang dengan tiba-tiba sewaktu menjalani kuarantin.

Bagaimanapun, menurut doktor pakar, masalah bahu yang dialaminya itu dikenali sebagai Acromioclavicular Joint Injury Shoulder and Elbow.

“Kata doktor ada dua sebab benda ini terjadi. Pertama hentakan yang kuat ataupun disebabkan virus.

“Kesannya otot kawasan itu mengecut. Tapi AC joint itu sebagai kesan kedua saja. Masalah utama ialah otot kecut selepas jangkitan virus menyebabkan sendi terkesan.

“Jadi memang jelas kena Covid, sebab virus ini masuk dalam darah dan benda ini buat kerjalah,” katanya menerusi Instagramnya.

Ashraf berkata, dia sebelum ini pernah cedera pada bahagian tulang belikat atau scapula.

“Yang saya perasan, saya ini aktif bersukan, main ragbi, hoki dan bola keranjang. Jadi masalah cedera itu biasalah.

“Tapi bila dah tua ini, mungkin ada bahagian pada tubuh badan kita pernah cedera. Jadi virus ini senang buat kerja dekat area itu.

“Tak apalah kita reda dengan apa yang Allah berikan ini sebab Allah nak kita ingat pada Dia selalu,” ujarnya.

Ashraf disahkan positif wabak itu pada 12 April tahun lalu, seterusnya, menjalani tempoh kuarantin selama 25 hari di Hospital Sungai Buloh.

Ashraf merupakan individu kesembilan yang disahkan mendapat jangkitan wabak Covid-19 selepas pulang dari menjalani penggambaran drama berjudul Demi di Inverness, Scotland pada 31 Mac tahun lalu. – Malaysiapost

Komen