5 beradik kini yatim piatu akibat Covid-19

5 beradik kini yatim piatu akibat Covid-19

LIMA beradik kini yatim piatu selepas kehilangan kedua-dua ibu bapa akibat Covid-19 dalam tempoh kurang seminggu.

Bapa mereka, Rodzi Tahar, 55, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tampin pada 31 Mei lalu, manakala ibunya Nazita Idris, 45, meninggal dunia enam hari kemudian di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ).

Anak sulung keluarga itu, Muhammad Haidir Rodzi, 23, berkata pesanan ibu supaya menjaga adik-adik dengan baik sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat positif Covid-19 masih terngiang-ngiang dalam ingatan, lapor Bernama.

Muhammad Haidir tidak menyangka pesanan menerusi panggilan video itu adalah amanat terakhir ibu kepadanya untuk mengambil alih tanggungjawab menjaga adik-beradik.

“Kami berasa sedih namun reda dengan ketentuan Allah atas pemergian ibu bapa tersayang.

“Perkara paling menyedihkan apabila kami sekeluarga tidak dapat mencium jenazah arwah ibu dan bapa buat kali terakhir, namun doa dan ingatan sentiasa ada buat mereka,” katanya yang dihubungi Bernama.

Muhammad Haidir bersama empat adiknya, Muhammad Hairie Rodzi, 20, Nurhairieka Rodzi, 18, Muhammad Haiqiel Rodzi, 13, dan Muhammad Khierzamani Rodzi berusia tujuh tahun kini menetap di rumah peninggalan arwah bapa di Bandar Sunggala, Port Dickson.

Muhammad Haidir berkata bapanya mengalami demam biasa pada 26 Mei lalu dan menjalani ujian saringan di Hospital Port Dickson pada 29 Mei sebelum disahkan positif lalu dihantar ke Hospital Tampin.

Namun keluarga mereka menerima khabar duka apabila doktor mengesahkan bapanya meninggal dunia pada 4.30 pagi 31 Mei.

“Perkara paling menyedihkan apabila arwah bapa tidak sempat meninggalkan pesanan buat kami selepas dimasukkan ke hospital.

“Bapa saya mempunyai sejarah penyakit darah tinggi, kencing manis dan sakit buah pinggang manakala ibu mempunyai penyakit darah tinggi. Jadi mereka golongan berisiko.

“Kami tidak tahu punca jangkitan dapat dari mana dan tidak tahu kontak rapat dari siapa?” katanya.

Muhammad Haidir berkata arwah ibunya melakukan ujian calitan pada 30 Mei selepas mengalami simptom seperti demam dan batuk serta disahkan positif Covid-19, pada keesokan harinya.

Katanya, mereka adik-beradik juga didapati positif Covid-19 dan menjalani kuarantin di rumah, namun tidak mengalami simpton teruk dan kini sembuh daripada jangkitan itu.

Menjadikan kisah keluarganya sebagai contoh, Muhammad Haidir mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi arahan ditetapkan kerajaan dan tidak memandang remeh terhadap penularan wabak Covid-19 yang boleh meragut nyawa insan tersayang. – Malaysiapost

Komen