Agong zahir ucapan takziah kepada keluarga legenda takraw

Agong zahir ucapan takziah kepada keluarga legenda takraw

YANG di-Pertuan Agong hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga legenda sepak takraw negara, Sahak Md Yassim yang meninggal dunia semalam.

Istana Negara menerusi laman media sosial rasminya, menyatakan Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap seluruh keluarganya sabar serta tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda amat menyanjung tinggi dan menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara serta menyifatkan pemergiannya sebagai kehilangan besar kepada sukan sepak takraw negara.

“Seri Paduka Baginda mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Allahyarham yang mesra disapa sebagai Pak Sahak, meninggal dunia pada usia 74 tahun kira-kira jam 3.30 petang semalam di rumahnya di Taman Bunga Raya, Setapak.

Berasal dari Kampung Nuri, Johol, Negeri Sembilan, bekas apit kanan negara itu pernah mewakili Malaysia dalam Sukan SEAP (Sukan SEA), Piala Emas Khir Johari, Piala Tuanku Abdul Rahman, Piala Tun Razak, Piala Tan Seri Jamil Rais dan Piala Raja Thai dan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Bekas anggota tentera ketika zaman kegemilangannya dari tahun 1971 hingga 1979, adalah legenda sepak takraw negara yang digeruni regu Thailand dan dilantik sebagai perunding Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSTM) tahun lalu. – Malaysiapost

Komen