Baru sembuh Covid-19, ramai keliru Nabila Huda terima vaksin

Baru sembuh Covid-19, ramai keliru Nabila Huda terima vaksin

PERKONGSIAN pelakon Nabila Huda yang memaklumkan sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 dos pertama pada Ahad lalu, mengundang pertikaian di media sosial.

Niat Nabila atau mesra disapa Abil berkongsi berita dia dan suaminya, Mohd Izwan Johar telah menerima vaksin dos pertama, menerima pelbagai reaksi pengikut di laman Instagram.

Ini kerana mereka mempersoalkan adakah bekas pesakit Covid-19 boleh menerima vaksin, walaupun baru sembuh daripada virus tersebut.

Rata-rata mempertikaikan bagaimana Nabila boleh mengambil vaksin disebabkan bekas pesakit Covid-19 perlu menunggu dalam tempoh tiga hingga enam bulan sebelum dibenarkan mengambil vaksin.

Tampil memberi pencerahan, Nabila memberitahu, dia sudah memaklumkan kepada doktor di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bahawa dia bekas pesakit Covid-19.

“Saya pergi ke sana (PPV) mengikut tarikh yang diberikan di MySejahtera. Saya beritahu doktor bahawa saya adalah bekas pesakit Covid-19 dan dia kata saya boleh teruskan (mengambil vaksin).

“Salah saya ke? Apa sebab saya tak nak jujur ni? Saya ok je, lambat ke cepat ke untuk ambil vaksin sebab nanti akan ambil vaksin juga.

“Lagipun saya tak ada masalah pun sebab saya hanya di rumah dan takut untuk keluar rumah. Mungkin sudah rezeki untuk saya ambil awal. Janganlah persoalkan dan cakap saya tak jujur,” tulisnya di ruangan komen.

Febuari lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata bekas pesakit Covid-19 boleh dipertimbang untuk menerima suntikan vaksin sekiranya tiada antibodi dikesan dalam tempoh antara tiga hingga enam bulan selepas pulih.

Katanya, perkara paling penting adalah untuk melihat sekiranya ada jangkitan baharu dikesan terhadap pesakit terbabit. – Malaysiapost

Komen