Netizen tak puas hati, program hiburan himpun 50 artis

Netizen tak puas hati, program hiburan himpun 50 artis

RANCANGAN “All Together Now Malaysia” mendapat kecaman warga netizen apabila didakwa mengumpulkan 50 juri di dalam satu tempat bagi memilih penyanyi baharu berbakat besar.

Rancangan realiti TV yang disiarkan baru-baru ini, dipertikaikan warga netizen yang membandingkannya dengan kapasiti jemaah yang dibenarkan kerajaan untuk solat di masjid.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat kepada jemaah yang ingin menunaikan solat berjemaah di masjid, iaitu hanya 12 orang sahaja dibenarkan berjemaah dan ia terhad kepada pegawai masjid dan Ahli Jawatan Kuasa (AJK).

Justeru, netizen mempersoalkan bagaimana rancangan realiti itu dibenarkan berlangsung dengan kehadiran dan jumlah selebriti yang ramai dalam satu masa, selain mempertikai pematuhan SOP peserta program hiburan terbabit.

Bagaimanapun, rancangan yang diterbitkan oleh sebuah stesen televisyen tempatan itu dikatakan dilakukan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)3.0.

Difahamkan, pihak produksi telah mengambil langkah pencegahan dengan meletakkan cermin penghadang namun masih ada di antara mereka yang bergerak ke tempat rakan selebriti lain.

Dalam masa sama, pengguna di platform TikTok turut mempersoalkan SOP yang didakwa tidak digunapakai oleh 50 selebriti itu.

Beberapa pertikaian yang dipersoalkan termasuklah tidak memakai pelitup muka atau “face shield”, dan tiada penjarakan sosial 1 meter sepertimana disarankan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Terdahulu, program realiti itu diadaptasikan dari British (All Together Now) di mana ianya mengumpulkan 50 orang juri dalam kalangan penyanyi, pelawak, penyampai radio, influencer dan wartawan hiburan untuk mencari penyanyi baharu.

Dengan itu, peserta perlu menampilkan persembahan yang terbaik untuk menarik hati barisan 50 juri ini bagi melayakkan mereka ke peringkat seterusnya.

Namun, hanya seorang peserta sahaja yang akan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM50,000. – Malaysiapost

Komen