Olimpik Tokyo: KBS arah MSN bincang dengan MOM

Olimpik Tokyo: KBS arah MSN bincang dengan MOM

MAJLIS Sukan Negara (MSN) diarah berhubung dan berbincang dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta semua pihak berkaitan, berkaitan laporan Malaysia antara 10 negara berkemungkinan tidak dibenar menyertai Sukan Olimpik Tokyo.

Arahan itu dikeluarkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bagi membolehkan MSN mendapat pengesahan dan maklumat terperinci berhubung perkara tersebut.

Reezal berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga sentiasa berhubung rapat dengan Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Malaysia di Jepun bagi mendapatkan perkembangan lanjut.

“Pada masa ini, momentum persiapan atlet negara berada pada tahap yang baik termasuklah persediaan latihan fizikal dan mental ke temasya Olimpik Tokyo 2020 yang
akan berlangsung kira-kira 46 hari sahaja lagi.

“Di samping persiapan terbaik untuk atlet, KBS akan sentiasa memastikan keselamatan dan kesihatan atlet, jurulatih serta pegawai yang terlibat sebagai keutamaan.

“Sebarang perkembangan terkini berkenaan perkara ini akan dimaklumkan dari semasa
ke semasa,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu laporan media menyebut Jepun mengeluarkan senarai 159 negara yang dihalang memasuki negara itu seperti mana siaran pemakluman oleh Kementerian Luar Negeri Jepun.

Siaran pemakluman tersebut juga menyentuh pengecualian yang boleh diberi kepada beberapa kategori rakyat asing termasuklah “athletes and other persons concerned with Olympic and Paralympic Games Tokyo 2020”. – Malaysiapost

Komen