Tidak adil sekat penyertaan Malaysia dalam Olimpik Tokyo

Tidak adil sekat penyertaan Malaysia dalam Olimpik Tokyo

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan cadangan Kerajaan Jepun untuk melarang penyertaan Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo sebagai tidak adil.

Ahli Parlimen Pekan itu, berkata Jepun boleh mengenakan syarat tambahan terhadap Malaysia termasuk mewajibkan tempoh kuarantin wajib 14 hari dan saringan harian ketika berada di negara itu.

“Malaysia antara 10 negara yang dicadang kerajaan Jepun untuk dilarang menyertai sukan Olimpik tahun ini atas alasan keadaan Covid negara kita kritikal.

“Pendapat saya ialah ini tidak adil. Boleh kenakan syarat tambahan terhadap kita seperti tempoh kuarantin wajib 14 hari di sana, perlu disaring tiap-tiap hari sepanjang tempoh di Jepun dan semua peserta dari Malaysia perlu selesai divaksin,” katanya dalam hantaran Facebook.

Najib berkata, beliau berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menyelesaikan isu berkenaan termasuk mengadakan rundingan dengan negara itu.

“Harap KBS akan selesaikan isu ini. Paling tidak, boleh hantar Atok (Tun Dr Mahathir Mohamad) untuk slow-talk dengan mereka,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Kerajaan Jepun meminta jawatankuasa penganjur sukan mempertimbangkan untuk menyekat 10 negara termasuk Malaysia daripada menyertai Sukan Olimpik Tokyo berikutan lonjakan kes Covid-19.

Negara lain yang mungkin dikenakan sekatan termasuk India, Pakistan, Nepal, Bangladesh, Maldives, Sri Lanka, Afghanistan, Vietnam dan United Kingdom. – Malaysiapost

Komen