Agong pengerusikan sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu Rabu depan

Agong pengerusikan sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu Rabu depan

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Bilah Shah akan mempengerusikan sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu, 16 Jun ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan berkata perbincangan Khas Raja-Raja Melayu itu adalah atas inisiatif Seri Paduka Baginda.

“Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu ini berkaitan dengan usaha-usaha memerangi penularan jangkitan wabak Covid-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat.

“Perbincangan Khas ini adalah kali kedua seumpamanya diadakan di Istana Negara sejak Seri Paduka Baginda menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari 2019,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata kali pertama Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu dianjurkan dan berlangsung pada 25 Oktober 2020 di Istana Negara.

Perbincangan itu hadir beberapa hari selepas Yang di-Pertuan Agong memanggil mengadap beberapa pemimpin politik ke Istana Negara bermula dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Turut mengadap hari ini ialah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin DAP.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan akan mengadap Seri Paduka Baginda esok disusuli pemimpin Umno pada Jumaat dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) Isnin depan. – Malaysiapost

Foto Kredit: Istana Negara

Komen