IKHLAS saran kerajaan tetapkan harga siling minyak masak botol

IKHLAS saran kerajaan tetapkan harga siling minyak masak botol

Najamuddin Mohd Nor

KERAJAAN perlu memperhebatkan operasi membanteras sendiket yang menyorok bekalan minyak masak sehingga mencetuskan kenaikan harga yang tidak masuk akal ketika ini.

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdullah berkata kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mesti turun padang untuk memastikan tiada pihak cuba mengambil kesempatan meraih keuntungan atas angin, menyebabkan harga minyak masak menjadi mahal.

“Saya meminta KPDNHEP yang bertanggungjawab memperhebatkan operasi, turun padang dan ambil tindakan kepada pengeluar, pemborong, peniaga yang sengaja menyorokkan bekalan minyak masak.

“Bila bekalan minyak masak berkurang di pasaran, ia menyebabkan harga naik. Sekarang harga naik macam tak masuk akal, ini serius dan saya menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan keras kepada mereka yang cuba cari untung cara mudah.

“Cari, tangkap dan dakwa mereka di mahkamah, mereka ini boleh kita anggap pengkhianat negara yang menyusahkan rakyat, saya pasti bila bekalan minyak masak mencukupi harganya akan turun kembali,” katanya kepada Malaysiapost hari ini.

Selain itu, Mohd Ridzuan menyarankan kerajaan menetapkan harga siling minyak masak bagi membendung harga terus naik melampau.

“Untuk penyelesaian jangka pendek, saya cadangkan kepada kerajaan untuk mencari mekanisma seperti menetapkan harga siling minyak masak botol. Kita tidak mahu harga terus meningkat naik pada masa akan datang.

“Ia juga dapat mematahkan sindiket yang cuba mengawal ‘demand and suply’, sekali gus mengelak harga minyak masak naik mendadak tidak terkawal,” katanya.

Mengulas mengenainya, Mohd Ridzuan melahirkan kebimbangan peniaga makanan akan menaikkan harga jualan susulan kenaikan harga minyak masak.

“Pastinya makanan yang dijual akan menjadi mahal, minyak masak ini elemen penting dalam masakan. Akan timbul nanti rungutan orang ramai berkaitan harga makanan yang dijual peniaga.

“Itu yang dibimbangkan, peniaga pastinya tiada pilihan lain selain terpaksa menaikkan harga jualan untuk menampung kos kenaikan harga minyak masak,” katanya.

Tinjauan Malaysiapost mendapati harga minyak masak 5kg di pasaran ialah sekitar RM33 hingga RM37 berbanding RM24 hingga RM27.50 sebelum ini.

Manakala harga minyak masak 2kg naik kepada antara RM12 hingga RM12.50 berbanding antara RM9 hingga RM10 sebelum ini.

Semalam Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid dilaporkan berkata orang ramai mempunyai pilihan untuk mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi dalam bungkusan polibeg satu kg yang kualitinya setanding dengan minyak masak dalam botol. – Malaysiapost

Komen