PKP penuh amat diperlukan, berkesan sejak dilaksanakan

PKP penuh amat diperlukan, berkesan sejak dilaksanakan

MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh amat diperlukan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata ia terbukti berkesan sejak dilaksanakan bermula 1 Jun lalu.

Menurutnya, penilaian situasi semasa wabak Covid-19 adalah melalui dua indikator utama iaitu kadar kebolehjangkitan atau Ro/Rt dan jumlah kes baharu harian.

“Kita dapati kebelakangan ini kadar Ro/Rt turun berbanding beberapa minggu lalu kepada bawah 1.0 dengan kadar pada hari ini adalah 0.96.

“Jumlah kes harian yang direkodkan juga menurun dan ia ada kaitan dengan pelaksanaan PKP 3.0 secara penuh seluruh negara bermula 1 hingga 14 Jun ini,” katanya dalam sidang media mingguan perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) hari ini.

Menurutnya, bagaimanapun selepas lapan hari, kes Covid-19 masih tinggi dengan pelaporan kes melebihi 5,000 sehari dengan purata kes baharu Covid-19 dalam tempoh tujuh hari sehingga semalam adalah 6,871.

“Jumlah ini melebihi nilai ambang yang disasarkan iaitu purata tujuh hari 4,000 kes ke bawah,” katanya.

Beliau menasihatkan masyarakat terus mematuhi panduan kesihatan awam seperti menjaga penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman, mengelak tempat sesak dan sebagainya.

“Sehingga kini kita merekodkan penurunan kes harian yang menyaksikan kaedah PKP penuh seluruh negara mendatangkan hasil dan ia amat perlu untuk membendung penularan Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

Komen