PGDM mahu bantu petugas media yang terkesan semasa pandemik

PGDM mahu bantu petugas media yang terkesan semasa pandemik

Nurul Huda Abhar

PENULARAN wabak Covid-19 di seluruh negara yang bermula sejak awal tahun lalu menyaksikan banyak golongan yang terkesan termasuklah petugas media.

Presiden Pertubuhan Generasi Digital Media (PGDM), Azfarafandi Zulkfley, berkata berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, pihaknya akan mengagihkan sumbangan bekalan makanan asas kepada petugas media yang terkesan.

Menurutnya, PGDM mendapat maklum balas seramai 120 orang petugas media yang tampil memohon untuk sumbangan khas tersebut.

Azfarafandi berkata, pihaknya menganggarkan 200 petugas media menerima bantuan yang akan disalurkan bermula minggu ini termasuklah individu yang bertugas di utara Semenanjung.

“Terbaharu untuk PKP 3.0 ini kami akan mengagihkan sumbangan yang diterima dari syarikat PR1MA, berbentuk barangan keperluan makanan sebanyak 200 pek.

“Semua 120 pek akan diagihkan kepada petugas media Kuala Lumpur, Selangor, manakala 80 pek lagi akan diagihkan kepada petugas media utara (Perak, Kedah, Perlis) yang terjejas pendapatan akibat PKP,” katanya.

Beliau berkata, PGDM berharap usaha tersebut dapat meringankan beban petugas media dari segi keperluan asas berikutan kini sekatan pergerakan penuh masih berjalan.

Sementara itu, pihaknya juga berharap lebih banyak syarikat korporat akan tampil untuk membantu berkongsi rezeki dengan sesiapa yang memerlukan.

“Sebarang sumbangan dana boleh disalurkan ke akaun Ambank 8881041662229 (Pertubuhan Generasi Digital Media),” ujarnya lagi.

Setiausaha PGDM, Izwan Khairuddin ketika dihubungi Malaysiapost memberitahu semua petugas media yang masih berkhidmat atau bekas petugas media dialu-alukan untuk tampil untuk memohon

“Sumbangan terbuka kepada semua petugas media. Tidak kira mereka bertugas online atau lain-lain. Sama ada stringers, kontrak, atau tetap semua boleh tampil mohon.

“Kita ambil kira daripada PKP 1.0 lalu, ramai petugas media yang hilang punca pendapatan, kena buang kerja. Jadi bantuan tidak seberapa ini diharap dapat meringankan beban,” katanya.

“Kami juga media yang bertugas di lapangan. Lihat rakan-rakan lain yang berkeluarga dan tersepit semasa pandemik ini membuatkan kita usaha untuk bantu,” katanya.

Industri media di negara ini juga menerima kesan berikutan pandemik Covid-19, apabila terdapat syarikat media terpaksa mengecilkan operasi mereka.

Situasi itu menyebabkan petugas media terpaksa menerima hakikat apabila perkhidmatan mereka dihentikan oleh majikan yang terjejas akibat kesukaran itu. – Malaysiapost

Komen