Reezal sahkan tiada larangan Malaysia sertai Olimpik Tokyo

Reezal sahkan tiada larangan Malaysia sertai Olimpik Tokyo

PENGANJUR Sukan Olimpik Tokyo menafikan laporan bahawa 10 negara termasuk Malaysia akan disekat daripada menyertai temasya itu bulan depan menerusi satu sidang media semalam.

Perkara itu disahkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi komen pada satu hantaran di Facebook bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak malam tadi.

Reezal berkata setakat ini, kesemua atlet ke Olimpik telah pun melengkapkan dos suntikan vaksin kecuali dua jaguh berbasikal, Azizulhasni Awang dan Muhammed Shah Firdaus Sahrom.

“Mereka yang baru tiba dari luar negara dijadual akan melengkapkan dos vaksin tidak lama lagi, setelah selesai menjalani 14 hari kuarantin.

“Insya Allah, para atlet kita akan dapat beraksi di temasya Olimpik kelak.

“Paling penting, kesihatan dan keselamatan para atlet, jurulatih dan pegawai sentiasa menjadi keutamaan kita di Kementerian Belia dan Sukan (KBS),” katanya.

Beliau turut memohon doa rakyat Malaysia agar negara memperoleh kejayaan pada temasya Olimpik Tokyo 2020 nanti.

Terdahulu Najib menulis hantaran di Facebooknya menyifatkan laporan media berhubung cadangan Jepun untuk menyekat penyertaan Malaysia ke Olimpik sebagai tidak adil.

Bagaimanapun Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020, Toshiro Muto menafikan laporan 10 negara termasuk Malaysia akan disekat daripada menyertai temasya itu bulan depan susulan lonjakan kes Covid-19 dialami negara berkenaan.

Muto berkata kemungkinan mengenakan sekatan penyertaan itu langsung tidak dipertimbang, sebaliknya kontinjen daripada beberapa negara disyaratkan menerima vaksin penuh sebelum tiba di Jepun bagi menyertai temasya yang dijadual bermula pada 23 Julai tersebut. – Malaysiapost

Komen