TikTok ‘salah parking’: Neeta, syarikat rakaman buat laporan polis

TikTok ‘salah parking’: Neeta, syarikat rakaman buat laporan polis

PENYANYI dan pengacara, Neeta Manis bersama syarikat rakaman Nar Records Sdn Bhd membuat laporan polis semalam terhadap seorang pengamal media berhubung penularan video dikatakan menjatuhkan maruahnya sebagai wanita.

Ia susulan video tular dengan kapsyen ‘salah parking’ yang didakwa merujuk kepada rakaman Neeta atau nama sebenarnya Neeta Manishaa Manogaran, 27, sedang membetulkan pakaiannya ketika rakaman program All Together Now Malaysia, baru-baru ini.

Ketua Bahagian Pemasaran NAR Records, Becky Zulkepli dalam satu kenyataan berkata, laporan polis perlu dibuat kerana video berkenaan menjatuhkan maruah Neeta, selain amat memalukan dan menyentuh sensitiviti serta maruah Neeta sebagai wanita.

“Dengan niat atau tujuan apa individu terbabit melakukannya masih tidak dapat dipastikan. Malah, usaha kami menghubunginya juga gagal apabila dia tidak memberi sebarang maklum balas sehingga kini.

“Dia seolah-olah tidak ambil peduli langsung dengan kejadian ini,” katanya.

Menurut Becky, apa yang lebih mengecewakan ialah individu itu masih tidak memadam video berkenaan di akaun TikTok walaupun isu ini tular dalam media sosial.

“Mungkin bagi sesetengah orang melihat perkara ini kecil, tapi pihak pengurusan NAR Records amat kesal dan menyelar perbuatan ini kerana menyebabkan Neeta dikecam orang ramai selepas video itu tersebar.

Sementara itu, Neeta seperti dilaporkan Harian Metro, turut terkilan dengan tindakan individu terbabit, apatah lagi dia seorang pengamal media yang dikenali.

“Saya amat terkilan kerana yang melakukan perkara ini adalah seorang berjawatan tinggi dan memiliki kerjaya profesional.

“Saya juga ambil keputusan untuk membuat laporan polis atas saranan pihak pengurusan dan tidak berhasrat ingin memperbesarkan atau mengadu-domba,” katanya.

Neeta memberitahu, laporan polis juga sebagai tanda peringatan terhadap individu terbabit serta netizen supaya menggunakan media sosial dengan tujuan betul.

“Media sosial bukan platform untuk mengecam, memalukan dan membuli orang lain Semua kesalahan ini tertakluk di bawah Akta 588 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Terdahulu, seorang pengguna TikTok dikatakan memuat naik rakaman video memaparkan Neeta sedang membetulkan bajunya dalam program All Together Now Malaysia yang ditayangkan Ahad lalu.

Susulan itu, menerusi laporan media semalam, Neeta meluahkan rasa kesal dan kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab individu terbabit. – Malaysiapost

Komen