60 kluster, 20 kematian sepanjang sambutan Aidilfitri, Hari Gawai

60 kluster, 20 kematian sepanjang sambutan Aidilfitri, Hari Gawai

SEBANYAK 60 kluster perayaan direkodkan sejak 13 Mei hingga hari ini, berpunca daripada sambutan Aidilfitri dan Hari Gawai.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Aidilfitri mencatat sebanyak 58 kluster, manakala Hari Gawai membabitkan dua kluster setakat ini.

Menurutnya seramai 13,023 individu telah disaring dalam semua kluster berkenaan di mana terdapat 3,511 kes Covid-19 dikenalpasti, seterusnya menjadikan kadar positif adalah 27 peratus.

“Daripada 3,511 kes tersebut, 20 kematian dilaporkan dan sehingga kini 11 kes masih dalam rawatan Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, negeri yang mencatat bilangan kluster perayaan tertinggi adalah Sabah dengan 11 kluster, Sarawak (lapan) serta Kedah dengan tujuh kluster.

“Situasi peningkatan kes dan kematian yang dilapor bagi kluster perayaan ini dianggap serius dan membimbangkan kerana berlaku dalam tempoh masa yang singkat.

“Sekiranya masyarakat masih lagi leka serta tidak mengambil iktibar dan pengajaran dari aktiviti kunjung-mengunjung dan rentas negeri semasa musim perayaan, tidak mustahil peningkatan kes secara mendadak berulang di negara kita,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk melindungi golongan rentan, khususnya ibu bapa yang uzur di kampung dengan tidak mendedahkan mereka kepada jangkitan virus SARS-CoV-2 ini.

“Kita wajar mencontohi negara-negara jiran yang telah berjaya mengawal situasi pandemik Covid-19 dengan baik dan membuktikan dengan kerjasama semua pihak dan kepatuhan tinggi prosedur operasi standard (SOP) digariskan, fungsi kehidupan kepada normal mampu menjadi kenyataan.

“Oleh itu rakyat digesa untuk kekal duduk di rumah jika tiada keperluan mendesak di luar serta daftarkan diri anda dan keluarga bagi mendapatkan vaksin Covid-19 untuk membentuk imuniti kelompok,” katanya. – Malaysiapost

Komen