Ada gerakan rebut jawatan dalam kerajaan?

Ada gerakan rebut jawatan dalam kerajaan?

TIMBUL dakwaan terdapat beberapa Ahli Parlimen yang tidak memegang jawatan kepimpinan utama parti sedang berusaha mendapatkan Perakuan Berkanun (SD) bagi meraih sokongan untuk memperolehi jawatan dalam pentadbiran kerajaan.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya mendapat maklum mengenai perkara itu dan menzahirkan kebimbangan kerana ia adalah satu percubaan jelik untuk mendapatkan habuan bagi kelompok tertentu ketika negara berada dalam krisis.

“Keadilan mendapat maklum dan menzahirkan kebimbangan mengenai khabar yang sedang tersebar kononnya ada beberapa Ahli Parlimen yang tidak memegang jawatan kepimpinan utama parti mereka sedang berusaha mendapatkan SD bagi meraih sokongan Ahli-ahli Parlimen untuk mendapatkan jawatan dalam kerajaan.

“Parti turut difahamkan, Ahli-ahli Parlimen ini berbuat demikian dengan dakwaan kononnya mereka telah mendapat ‘restu’ Yang di-Pertuan Agong.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan prinsip raja berperlembagaan, kami percaya dakwaan ‘restu’ ini tidak benar sama sekali dan merupakan percubaan jelik untuk mendapatkan habuan bagi kelompok tertentu pada ketika negara berada di dalam krisis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, PKR mengambil pendirian nama Yang di-Pertuan Agong tidak patut digunakan sebagai helah meraih sokongan Ahli-ahli Parlimen, apatah lagi apabila sokongan itu tidak menyelesaikan persoalan besar mengenai hala tuju kepimpinan negara ketika ini.

“Tindakan terdesak kelompok ini wajar ditolak rakyat. Tumpuan sekarang harus ke arah memulihkan ekonomi dan membela rakyat yang cukup terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

Komen