Aksi lawan Vietnam medan terbaik de Paula bukti kemampuan

Aksi lawan Vietnam medan terbaik de Paula bukti kemampuan

AKSI bertemu Vietnam awal pagi Sabtu ini, menjadi medan terbaik buat penyerang neutralisasi negara, Guilherme de Paula bangkit membuktikan kewibawaannya kepada rakyat Malaysia.

Justeru jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengharapkan De Paula dapat kembali mempemerkan aksi bagai ‘harimau luka’ untuk merobek gawang Vietnam pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Al-Maktoum, Dubai.

“De Paula memiliki kualiti untuk membantu pasukan negara dan kita lihat dia menjadi penjaring terbanyak dalam setiap pasukan yang diwakilinya sebelum ini.

“Jadi dengan keyakinan dan pengalamannya, dia boleh membuat sesuatu ketika menentang Vietnam.

“Tetapi setiap pemain perlu dilihat dan dinilai dari sudut berbeza kerana setiap perlawanan berlainan. Mana-mana pemain yang diturunkan nanti mesti memberikan komitmen sepenuhnya,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Selepas aksi hambar de Paula bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu lalu, rata-rata peminat tempatan mengharapkan Cheng Hoe memberi peluang kepada pemain tempatan seperti Syafiq Ahmad dan Luqman Hakim Samsudin.

Sementara itu, Cheng Hoe mengakui Vietnam memiliki kelebihan berbanding skuad negara khususnya dari segi keserasian memandangkan mereka sudah lama ‘dihimpunkan’ di bawah kendalian Park Hang Seo.

Namun kata pengendali berasal dari Kedah itu, skuad Harimau Malaya telah menghidu beberapa kelemahan lawan yang juga juara bertahan Piala AFF Suzuki 2018.

“Berdasarkan kajian kita mengenai Vietnam di bawah Hang Seo, kita nampak mereka dikumpulkan dalam kalangan pemain yang sama dan beraksi pada Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23), Sukan Asia serta Piala Asia 2019.

“Pemain ini ada keserasian cukup baik dan kekuatan mereka dari segi bermain sebagai satu unit.

“Apapun, kita sentiasa mencari jalan terbaik untuk melawan Vietnam dan mencuba beberapa lagi kombinasi terbaik untuk mendapatkan keputusan positif,” katanya. -Malaysiapost

Foto Kredit: FB/FAM

Komen