Anwar tidak mampu beri cadangan – Tun M

Anwar tidak mampu beri cadangan – Tun M

PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan beliau ada bercakap dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini sebelum mereka diperkenankan mengadap Yang di-Pertuan Agong. 
Bekas Perdana Menteri itu berkata, dalam perbualan berkenaan, beliau mencadangkan kepada Anwar untuk menulis kepada Agong mengenai situasi semasa negara yang semakin serius susulan peningkatan kes Covid-19. 
“Saya ada bercakap dengan Anwar, dia hubungi saya. Pada awalnya dia hubungi Mukhriz (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) dan beritahu ingin bercakap dengan saya. 
“Mukhriz bertanya sama ada saya bersedia untuk bercakap dengan Anwar dan saya kata, ya.
“Anwar kemudian hubungi saya dan dia seperti tidak mampu mencadangkan sesuatu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi negara ketika ini,” katanya dalam sidang media secara maya selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong, hari ini. 
Kata Dr Mahathir, dia menulis surat kepada Agong untuk memohon mengadap bagi memaklumkan situasi negara ketika ini adalah sangat serius dan perlu ditangani segera. 
“Tetapi apa Anwar lakukan saya tidak tahu dan bukan saya yang hubungi dia,” katanya. – Malaysiapost

Komen