Dr Muhaya mohon maaf isu ‘buat bodoh-bodoh’

Dr Muhaya mohon maaf isu ‘buat bodoh-bodoh’

KECOH sejak semalam isu tular video klip pakar motivasi Datuk Prof. Dr. Muhaya Mohamad yang mengupas mengenai lambat bertemu jodoh dan beliau tampil memohon maaf berhubung video yang menimbulkan salah faham dan perdebatan dalam kalangan masyarakat terutama kaum Wanita itu.

Dr Muhaya berkata, beliau bertanggungjawab untuk memberikan penjelasan berhubung potongan klip ‘buat bodoh-bodoh’ berdurasi 56 saat itu yang tular sejak semalam itu.

“Assalamualaikum anak-anak bonda dan semua yang memberi maklum balas berhubung potongan klip ‘buat bodoh-bodoh’ yang tular semalam.

“Untuk makluman, hantaran klip 56 saat tersebut adalah petikan dari live di Facebook Page Prof Muhaya dan Youtube Prof Muhaya TV berdurasi 45 minit yang diterbitkan pada 6 Februari lalu jam 6 petang bertajuk ‘Antara cinta dan cita-cita’.

“Ia adalah jawapan bagi komen-komen dari FB, berkaitan wanita yang dalam dilema, antara mengejar kerjaya, cinta serta keluarga,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya hari ini.

Menurutnya, secara teknikal, ia adalah video lama yang disunting kepada 56 saat dan telah menimbulkan pelbagai reaksi kurang senang dalam kalangan masyarakat, terutamanya kaum wanita sehingga menimbulkan persoalan, perbalahan dan sangkaan.

“Bonda (Dr Muhaya) mengambil tanggungjawab untuk memohon maaf atas salah faham yang timbul dan ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang ambil berat termasuk pihak media, rakan-rakan dan keluarga yang mengambil inisiatif tabayyun atau bertanya akan perkara sebenarnya kepada bonda mahupun pasukan bonda.

“Kepada pihak media juga, sangat baik budi akhlaknya sehingga kini menanti kenyataan bonda, maka bonda tampil membuat penjelasan ini. Terima kasih kerana sabar ya,” katanya.

Beliau berkata, bagi yang mahu mendapatkan penjelasan lanjut, semua jawapan terkandung di pautan Youtube Prof Muhaya TV bertajuk Cinta & Cita-Cita.

“Bonda juga seorang wanita, isteri, ibu dan nenek yang bekerjaya dan semestinya sentiasa mendukung, mendoakan wanita semua berjaya ke puncak tertinggi, berbahagia dunia akhirat dan mendapat redha Allah,” katanya. – Malaysiapost

Komen