Guna cukai ‘windfall’ bantu pengguna

Guna cukai ‘windfall’ bantu pengguna

KERAJAAN dicadang menggunakan cukai keuntungan luar biasa yang dikenakan terhadap syarikat kelapa sawit bagi membantu pengguna terkesan akibat kenaikan harga minyak masak tidak bersubsidi.

Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan berkata, harga minyak masak dalam botol sememangnya tidak lagi disubsidi kerajaan selepas 2016.

Menurutnya, apabila harga kelapa sawit mentah (CPO) meningkat, harga minyak masak juga akan meningkat dan susulan kenaikan harga CPO sejak tahun lepas, harga minyak masak tidak bersubsidi juga meningkat mendadak hingga mencecah lebih RM30 bagi minyak masak botol 5 kilogram (kg).

Beliau berkata, keadaan itu tidak bermakna kerajaan tiada kuasa atau pilihan untuk buat apa-apa bagi menangani isu harga minyak masak.

“Kerajaan mengutip hasil berkaitan kelapa sawit seperti duti eksport CPO dan juga cukai keuntungan luar biasa (windfall tax) kepada syarikat-syarikat kelapa sawit apabila harga CPO melebihi RM2,500/metrik tan di Semenanjung Malaysia dan melebihi RM3,000/metrik tan di Sabah dan Sarawak.

“Ini bukan cukai baru yang dicadangkan. Ini cukai sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, itu tidak termasuk lagi cukai pendapatan korporat yang dikutip daripada syarikat-syarikat kelapa sawit.

“Menteri Industri Perladangan dan Komoditi sendiri mengakui kerajaan akan mengutip hampir RM300 juta bagi tiga bulan pertama 2021 sahaja melalui
‘windfall tax’ ini.

“Jika harga kekal tinggi maka kerajaan akan mengutip lebih RM1 bilion tahun ini. Berbanding seluruh tahun lepas, kerajaan mengutip RM348 juta ‘windfall tax’ ke atas syarikat perladangan kelapa sawit.

“Maka lebihan hasil kerajaan ini cukup untuk menampung perbelanjaan berkaitan mengurangkan beban rakyat yang menanggung kenaikan harga minyak masak,” katanya. – Malaysiapost

Komen