Hati-hati, tawaran umrah dan badal haji mungkin penipuan – PDRM

Hati-hati, tawaran umrah dan badal haji mungkin penipuan – PDRM

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesan kewujudan iklan-iklan berkenaan pakej haji, umrah dan badal haji bagi tahun ini yang ditawarkan beberapa agensi pelancongan yang disifatkan amat meragukan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata ia berdasarkan senario penularan Covid-19 yang masih berleluasa dan sekatan perjalanan dikuatkuasakan kerajaan.

“Memetik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada 3 Jun dan siaran akhbar Tabung Haji pada 4 Jun, sehingga kini status perlaksanaan ibadah haji bagi tahun ini masih belum dapat dipastikan.

“Pihak kerajaan masih menunggu kelulusan pihak berkuasa Arab Saudi berkenaan kebenaran ibadat haji serta kuota yang dibenarkan bagi musim 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Kamarudin menambah, siaran media Persatuan Mahasiswa Malaysia Arab Saudi Cawangan Madinah (Persada) pada 6 Jun lalu telah menyangkal dakwaan sesetengah pihak menyatakan perkhidmatan badal haji boleh dilaksanakan pelajar Malaysia di Arab Saudi tanpa permit atau lesen haji.

“Menurut mereka, pelaksanaan ibadat haji adalah berdasarkan kuota dan prosedur yang ditetapkan pihak berkuasa Arab Saudi,” katanya.

Menurutnya, harga bagi perkhidmatan badal haji sekitar RM1,500 sehingga RM2,000 sama sekali tidak munasabah mengambil kira kos permit, penginapan, pengangkutan, makanan dan lain-lain perkara yang perlu dijelaskan bagi melaksanakan ibadah tersebut.

“Secara keseluruhan, kita melihat tindakan segelintir agensi pelancongan mengiklankan pakej haji, umrah mahupun badal haji bagi tahun ini adalah satu tindakan pramatang serta mungkin merupakan satu penipuan.

“Justeru, kita ingin menegaskan siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan boleh dijalankan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan penipuan pakej haji, umrah dan badal haji.

“Sabit kesalahan, hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dengan sebatan atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan terhadap pesalah yang terlibat,” katanya.

Mohd Kamarudin turut mengingatkan orang ramai lebih berhati-hati dan membuat semakan sewajarnya dengan agensi kerajaan berkaitan sebelum mengambil keputusan membuat bayaran dan menyertai mana-mana pakej yang ditawarkan.

“Orang ramai yang berminat untuk menunaikan ibadah haji dan umrah bagi tahun ini juga diingatkan sentiasa peka dengan perkembangan dan arahan terkini dikeluarkan kerajaan berkaitan sekatan perjalanan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya. – Malaysiapost

Komen