MAIWP fokus isu kemiskinan bandar

MAIWP fokus isu kemiskinan bandar

MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kini memberi fokus terhadap usaha menangani kemiskinan bandar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata penelitian terhadap laporan kajian keluarga memberi beberapa sudut pandang baharu bagi merawat masalah itu.

Katanya, ia berdasarkan kajian Keluarga di Pinggiran oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA).

“Antara yang menarik perhatian saya, daripada 500 keluarga di Kuala Lumpur yang ditemubual, 6/10 tidak dapat membeli makanan yang cukup untuk keluarga.

“Melalui Kedai Rakyat MAIWP, kami memperkenalkan konsep Gerobok Rezeki di mana orang ramai boleh membeli barangan runcit dan meletakkannya di rak bank makanan yang disediakan.

“Pelanggan juga boleh memilih untuk tidak mengambil baki dan menyumbangkannya untuk pembelian barangan bagi diletakkan di rak bank makanan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Zulkifli berkata beliau pernah terbaca budaya itu yang diamalkan semasa zaman Kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Justeru katanya, tidak rugi kita membudayakannya di kedai-kedai runcit seluruh negara yang secara tidak langsung dapat merawat sebahagian masalah kemiskinan bandar.

“Hari ini (semalam) saya singgah di Kedai Rakyat MAIWP di Presint 9, Putrajaya. Banyak barang-barang keperluan asas yang diambil untuk diletakkan di rak bank makanan yang disediakan.

“Antaranya adalah pampers, susu bayi, sabun, minyak masak, sos dan lain-lain. Bagi asnaf atau sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan di sekitar Putrajaya, dipersilakan datang. Muslim atau bukan Muslim dialu-alukan.

“Dalam masa sama, jangan kita lupa isu kemiskinan haid yang semakin membarah. Kita bantu mereka yang tidak berkemampuan membeli tuala wanita dengan menyediakan tuala wanita mencukupi di Gerobok Rezeki.

“Ambillah sekadar yang perlu. Moga dapat meringankan beban kesempitan hidup yang dilalui. Hari ini mereka mengambil barangan di rak, sampai masanya nanti mereka pula menyumbang di rak yang sama,” katanya.

Buat masa ini, Kedai Rakyat MAIWP dibuka di Putrajaya (Presint 5 & Presint 9) dan Kuala Lumpur (Bandar Sri Permaisuri).

Oktober lalu, kajian UNICEF dan UNFPA mendapati, susulan pandemik Covid-19, satu daripada dua keluarga pendapatan rendah di ibu kota, berada dalam kemiskinan mutlak dengan 37 peratus sukar membeli makanan mencukupi.

Kajian itu dijalankan antara tempoh akhir pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga September lalu.

Laporan bertajuk ‘Keluarga di Pinggiran’ membabitkan tinjauan terhadap 500 keluarga mendiami flat kos rendah sekitar Kuala Lumpur itu turut mendapati pemulihan pasca PKP itu adalah separa, tidak sekata dan berubah-ubah.

Laporan itu turut mendapati beberapa kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah berisiko berhenti sekolah ekoran kesan kewangan dan psikologi susulan pandemik Covid-19.

Purata pendapatan keluarga berpendapatan rendah kekal 10 peratus lebih rendah berbanding pra-Covid-19, walaupun pengangguran berkurangan selepas tamat pelaksanaan PKP Bersyarat (PKPB). – Malaysiapost

Komen