Pencapaian SPM 2020  lebih baik dari tahun sebelumnya

Pencapaian SPM 2020 lebih baik dari tahun sebelumnya

PENCAPAIAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 lebih baik berbanding tahun lepas.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, gred Purata Nasional (GPN) SPM 2020 menunjukkan peningkatan 0.6 mata iaitu sebanyak 4.80 berbanding 4.86 bagi SPM 2019.

Katanya, seramai 401,105 calon mendaftar dengan seramai 381,894 calon menduduki SPM 2020 yang berlangsung dalam dua sesi pada 22 Februari hingga 25 Mac lalu serta 6 hingga 23 April untuk 83 mata pelajaran di 3,310 pusat peperiksaan.

Dr Radzi berkata, pencapaian GPN 4.80 itu adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun ini.

Katanya, nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik.

“Jika kita lihat GPN tahun ini adalah 4.80 berbanding 4.86 pada tahun 2019. Data ini menunjukkan bahawa pencapaian calon adalah lebih tinggi pada 2020 berbanding 2019.

“Analisis ini berdasarkan kepada calon yang menaftar untuk kali pertama, untuk sekurang-kurangnya enam mata pelajaran dan menduduki sekurang-kurangnya satu mata pelajaran,” katanya pada Sidang Media Khas SPM 2020 secara maya, hari ini.

Menurutnya, calon layak Sijil SPM juga menunjukkan peningkatan sebanyak 1.96 peratus iaitu 88.68 peratus bagi SPM 2020 berbanding 86.72 peratus untuk SPM 2019.

Manakala bagi Calon Berkeperluan Khas (CBK) layak sijil SPM ialah 6.88 peratus meningkat kepada 68.22 peratus bagi SPM 2020 berbanding 61.34 peratus untuk SPM 2019. – Malaysiapost

Komen