Pengabaian SOP punca 2 tren LRT bertembung

Pengabaian SOP punca 2 tren LRT bertembung

PENGABAIAN terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kritikal tertentu dikenalpasti punca kemalangan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya pada 24 Mei lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata jawatankuasa siasatan mendapati pelanggaran berlaku antara tren 40 yang mengalami masalah teknikal apabila kedua-dua sistem Komunikasi On-Board Vehicle (VOBC) gagal berfungsi.

Pada masa sama, katanya, tren 81 yang dipenuhi penumpang dilepaskan untuk meneruskan perjalanan dari stesen KLCC sebelum mendapat pengesahan tepat situasi tren yang mengalami masalah itu.

Beliau berkata, jawatankuasa siasatan diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT), Datuk Isham Ishak memaklumkan hasil siasatan kepada Kabinet hari ini.

Katanya, jawatankuasa itu memaklumkan pada 6.26 petang hari kejadian, satu daripada dua VOBC dalam tren 40 gagal berkomunikasi dengan Pusat Arahan Operasi (OCC).

Ini menyebabkan tren itu perlu dikosongkan di stesen seterusnya sebelum dikeluarkan daripada perkhidmatan untuk penyelenggaraan.

Menurutnya, pada jam 8.13 malam, VOBC kedua tren 40 juga gagal berfungsi ketika ia dalam perjalanan ke depoh Lembah Subang untuk penyelenggaraan, menyebabkan OCC tidak dapat mengawal tren yang terkandas antara stesen KLCC dan Kampung Baru.

“Berikutan itu, Hostler atau pemandu diarah mengendalikan Tren 40 secara manual ke stesen Dang Wangi untuk membuat ‘reset’ terhadapnya untuk kembali ke mod ATO.

“Siasatan mendapati ketika proses pemindahan Tren 40 untuk diset semula dan dikembalikan kepada ATO, kedua-dua Hostler dan pengawal (controller) OCC mengabaikan SOP kritikal tertentu.

“Ini secara tidak sengaja mengakibatkan Tren 40 bergerak secara manual ke arah Gombak (arah utara) dan bukan ke selatan menuju ke depoh,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurutnya, objektif siasatan adalah menentukan punca sebenar pelanggaran bagi mengelak insiden sama berulang serta menambahbaik perkhidmatan pengangkutan awam.

“Ia tidak bertujuan untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti terhadap mana-mana pihak.

“Kerajaan melalui MOT akan terus bekerjasama dengan Prasarana dan semua penyedia perkhidmatan pengangkutan awam lain untuk terus meningkatkan keselamatan pengguna,” katanya.

Dalam kejadian 24 Mei lalu seramai 213 penumpang cedera apabila dua tren LRT bertembung dalam terowong berhampiran laluan antara stesen Kampung Baru dengan KLCC. – Malaysiapost

Komen