PRU15 tidak selamat diadakan tahun depan – Tun M

PRU15 tidak selamat diadakan tahun depan – Tun M

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak wajar diadakan tahun depan ketika ditanya oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan perkara itu.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, ketika pertemuannya dengan Agong di Istana Negara hari ini, tiada sebarang indikasi mengenai penamatan darurat, namun baginda ada bertanya kepadanya mengenai waktu yang sesuai bagi negara mengadakan PRU15 ketika sesi pertemuan itu.

“Baginda bertanyakan sama ada pilihan raya boleh diadakan tahun depan atau bila-bila masa dan saya nyatakan adalah sangat berbahaya untuk mengadakannya.

“Kerana kita sudah lihat apa yang berlaku di Sabah (Pilihan Raya Negeri). Jika pilihan raya diadakan akan berlaku peningkatan (kes Covid-19) semula,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berpendapat, PRU15 sesuai diadakan apabila negara mencapai imuniti kelompok dengan 80 peratus rakyat sudah divaksinasi.

“Mungkin pada peringkat itu (imuniti kelompok) boleh diadakan (PRU15), sebelum daripada itu berbahaya seperti apa yang berlaku selepas PRN Sabah kerana penularan Covid-19 akan berlaku di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai pendapatnya berhubung pelaksanaan sidang Parlimen secara hibrid, beliau menegaskan Parlimen perlu bersidang bagi menyuarakan suara rakyat, selain berperanan sebagai semak dan imbang kepada tindakan kerajaan. – Malaysiapost

Komen