‘Tugas ini bukan keistimewaan, tapi tanggungjawab yang wajib dilaksanakan’

‘Tugas ini bukan keistimewaan, tapi tanggungjawab yang wajib dilaksanakan’

DATUK Seri Zambry Abd Kadir menerima keputusan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) secara konsensus yang menamakannya sebagai Setiausaha Agung BN yang baharu dengan rendah diri dan sedar akan tanggungan amanah yang diberikan.

“Saya berpegang kepada prinsip bahawa sesuatu tugas yang diletakkan di jemala bukannya sebuah keistimewaan yang perlu diraikan, tetapi tanggungjawab yang wajib dilaksanakan.

“Tugas sebagai SUA adalah untuk mengendali urusan dan perjalanan pentadbiran BN dan membantu pimpinan utama komponen BN di peringkat pusat, negeri dan parlimen.

“Justeru bagi menyempurnakan tanggungjawab baru ini, kita perlukan solidariti dan keteguhan semua peringkat pimpinan dan ahli BN akar umbi bagi menjayakan citi-cita bersama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata BN adalah citra pembentukan sebuah persefahaman politik bagi sebuah negara Malaysia yang mempunyai keunikan kepelbagaian demografi, etnik, agama dan wilayah.

Maka, katanya usaha untuk memperkukuhkan BN sebagai mewakili kesegaran wajah politik masakini dan keteguhan semangat baru adalah menjadi keutamaan.

“Memperbaiki kekurangan, memperbetulkan matlamat dan membina semula kekuatan parti di tengah-tengah kedinamikan politik baru dan kepintaran media sosial akan dijadikan panduan.

“Selaku SUA yang baru saya akur ia tanggungjawab besar dan mencabar. Lantaran itu prinsip “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” akan menjadi amalan, disulami dengan semangat musyawarah dan pembinaan konsensus (consensus building).

“Terima kasih semua atas pesanan dan mesej melalui media sosial. Segala ucapan tahniah, nasihat dan kritikan baik dan destruktif tetap saya santuni sebagai panduan untuk memulakan langkah yang penuh dengan cabaran,” katanya. – Malaysiapost

Komen