Tumpuan kepada Zahid Hamidi esok

Tumpuan kepada Zahid Hamidi esok

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah pemimpin parti politik utama Malaysia yang terakhir dijadualkan mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara esok.

Pertemuan itu mungkin menjadi kunci kepada pelbagai persoalan terutama membabitkan Proklamasi Darurat dan sidang Parlimen.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Ahmad Zahid akan membawa suara akar umbi Umno dan rakyat dalam pertemuan itu.

“Semua berteka teki apa titah Agong bila Muhyiddin datang mengadap semalam. Dia orang pertama yang dipanggil mengadap.

“Esok semua tertumpu kepada Zahid Hamidi. Dia orang terakhir mengadap secara empat mata dan bersemuka.

“Ramai positif, yakin dan percaya hasilnya ialah darurat tidak disambung dan Parlimen akan bersidang semula. Rakyat berdoa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurutnya, satu lagi isu pokok yang pasti berbangkit ialah mengenai kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sudah tidak ada majoriti dan tiada pihak boleh mendakwa Umno masih kekal sokong PN.

“Ini kerana Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 sudah buat keputusan menarik balik sokongan terhadap PN.

“Tarikh “pull the plug” boleh berlaku pada bila bila masa sebelum tarikh akhir 1 Ogos 2021. PAU 2020 telah beri mandat kepada Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk tentukannya.

“Zahid akan membawa suara akar umbi Umno dan rakyat. Selebihnya kita yakin di atas budi bicara dan kebijaksanaan YDP Agong untuk buat keputusan,” katanya.

Beliau berkata, tindakan memanggil semua ketua parti yang dibuat Agong adalah luar biasa dan baginda tidak lagi mendengar sebelah pihak kerana dengan mendengar nasihat kerajaan sahaja tidak memadai.

“Semoga kita dapat keluar dari kegelapan. Daulat Tuanku,” katanya. – Malaysiapost

Komen