Tun M akui cadang tubuh MAGERAN kepada Agong

Tun M akui cadang tubuh MAGERAN kepada Agong

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mendedahkan beliau mencadangkan penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah hari ini.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu, berkata cadangan itu adalah bagi menangani empat krisis utama yang dihadapi negara ketika ini.

Menurutnya, kerajaan gagal menangani masalah dihadapi susulan pandemik Covid-19 walaupun darurat dilaksanakan.

“Saya dapat bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong dan dapat menjelaskan pendapat kami yang telah bincang masalah ini bersama-sama dan telah mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh negara.

“Saya jelaskan kita menghadapi empat krisis berbeza, pertamanya berkenaan isu kesihatan iaitu Covid-19 kini sudah lebih 600,000 kes dan lebih 3,000 meninggal dunia.

“Keduanya saya menjelaskan tentang masalah ekonomi dan kewangan. Ini juga satu krisis yang teruk.

“Ketiga berkenaan politik yang tidak stabil dan akhir sekali keadaan sosial membabitkan penderitaan rakyat,” katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Beliau berkata, keadaan wabak Covid-19 di Malaysia ketika ini serius jika dibandingankan keadaan di United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) yang mana walaupun penduduk mereka lebih ramai tetapi jumlah kematian akibat wabak itu berkurangan.

“Jumlah jangkitan harian juga kurang daripada Malaysia berbanding UK yang mempunyai 55 juta penduduk jumlah kes harian sekitar 3,000 kes, namun Malaysia yang mempunyai 32 juta rakyat kes harian dilaporkan lebih 6,000 hingga 9,000 sehari,” katanya.

Dr Mahathir berkata, dari segi ekonomi pula, beliau membangkitkan berkenaan terdapat perbelanjaan besar oleh kerajaan tetapi rakyat tidak dapat bantuan dan terkesan teruk akibat Covid-19.

“Ramai tiada kerja, tiada pendapatan dan ada yang tiada makanan pun.

“Kita dapati tiada bantuan kerajaan yang mencukupi kepada mereka yang bernasib buruk kerana tidak dapat bekerja atau tidak dapat berniaga,” katanya.

Menurutnya, berkenaan politik pula didapati kerajaan tidak diiktiraf oleh rakyat dan rakyat rata-rata tidak senang, bahkan menganggap kerajaan ini adalah kerajaan gagal.

Beliau berkata, dari segi sosial pula membabitkan peningkatan kes seperti bunuh diri, gangguan seksual, keganasan rumah tangga dan banyak lagi, serta sistem pendidikan terhenti selama dua tahun.

“Pejuang telah bincangkan perkara ini dan mendapat idea berkenaan dengan bagaimana untuk menangani kesemua empat krisis dialami negara ketika ini

“Saya akhirnya bangkitkan kemungkinan diadakan satu badan khusus seperti MAGERAN yang diadakan pada 1969.

“Namun, jika ingin melaksanakan MAGERAN, kerajaan perlu mencadangkan kepada Agong. Tetapi saya tidak yakin kerajaan yang ada sekarang ini akan menubuhkan MAGERAN,” katanya.

Mengulas calon yang sesuai mengetuai MAGERAN jika kuasa baharu itu ditubuhkan, beliau menjelaskan ia tidak dibincangkan ketika sesi menghadap itu, namun secara peribadi menawarkan diri jika kerajaan mahu beliau kembali berkhidmat. – Malaysiapost

Komen