Umno hantar misi bantuan kemanusiaan ke Gaza

Umno hantar misi bantuan kemanusiaan ke Gaza

UMNO akan menghantar misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, Palestin pada 19 Jun ini yang diketuai Pengerusi Biro Kebajikan Umno Malaysia, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Perkara itu diumumkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini, yang memaklumkan antara tujuan utama misi kemanusiaan itu adalah membantu membaik pulih Masjid Al-Aqsa yang rosak akibat pencerobohan tentera zionis.
Menurutnya, misi kemanusiaan itu dijadualkan bermula 19 Jun hingga 5 Julai ini, membawa bersama pasukan doktor pakar bagi membantu mangsa yang tercedera dan juga memberikan sokongan serta bantuan psikiatri post trauma kepada warga Gaza yang terkesan dengan serangan regim zionis baru-baru ini.
“Malam tadi (semalam) berkunjung ke kediaman Duta Palestin dalam membantu misi bantuan kemanusian ke Gaza dan pembaikan Masjid Al Aqsa yang diketuai oleh Azeez Rahim, Pengerusi Biro Kebajikan Umno Malaysia.
“Pakar pembinaan IBS (Sistem Binaan Industri) dan wakil CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia) juga akan turut serta untuk membantu membangunkan semula Gaza.
“Antaranya, pembinaan semula lebih 17,000 rumah yang musnah melibatkan 50,000 penduduk, sekolah dan hospital serta kemudahan awam lain yang hancur dibom,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid berkata, bantuan kepakaran dalam isu bekalan air bersih dan sistem kumbahan yang daif akibat daripada kesan serangan juga akan menjadi salah satu matlamat misi kali ini.
“Misi kemanusiaan juga akan memberikan bantuan kewangan kepada petani, nelayan dan biasiswa bayaran pembelajaran kepada anak-anak Gaza di universiti tempatan mereka.
“Semoga Allah memudahkan urusan Azeez Rahim dan pasukannya di sana dan akan kembali ke Malaysia dengan selamat,” katanya. – Malaysiapost

Komen